AHMAD AZAM: BANGKIT MELAWAN ISLAMOPHOBIA



Impak terbesar “Memerangi Teror” adalah terhadap imej Islam. Islam digambarkan dengan penuh ketakutan dan ancaman. Islam sering dipamerkan sebagai misogynistic - pembenci perempuan – menindas wanita, menganggap wanita sebagai manusia lebih rendah untuk diperhambakan kepada lelaki dan cerita resam khitan mencacatkan wanita berulangkali dicanang. Islam dituduh sebagai pembenci agama dan kepercayaan lain, berhasrat memajukan undang-undang shariah yang lapok, gasar dan tidak berperikemanusiaan. Islam dikutuk sebagai penganjur keganasan dan terorisme atas nama Jihad. Mitos menjadi realiti maya di dalam dunia para pembenci Islam - the world of Islamophobes.
Sebagai bandingan, Barat dipamerkan sebagai bertamaddun tinggi, moden, ditabdir menurut hukum, menikmati kesaksamaan, kebebasan dan keadilan. Barat diterjahkan sebagai model umat Islam mesti turuti. Namun dunia dengan mudah melupakan dan mengabaikan berjuta orang pelarian yang sengsara dan terlantar tanpa pertolongan di merata dunia akibat langsung agenda “Memerangi Keganasan”. Mereka adalah orang yang tidak berdosa merempat mencari perlindungan, mendambakan maruah dihormati dan kehidupan yang baik. Barat memberikan respon dingin dengan menutup sempadan dan menaikkan pagar-pagar berduri berceracak.
Bilangan mereka yang terkorban kian bertambah dibunuh melalui bom-bom sembarangan dan dron kawalan jauh tanpa fikir. Kehilangan nyawa orang awam, kemusnahan dan malapetaka ini semua dipersalahkan ke atas ‘pejuang jihad,’ ‘mujahidin’ dan Islam. Manakala Barat adalah penyelamat manusia yang gagah perkasa dan pelindung kemanusiaan.
Fenomena Teroris
Orang yang serious menekuni dan aktif secara akrab dengan aktivis Islamis seluruh dunia amat terkejut dan hairan dengan pertumbuhan pesat pelampau-pelampau militan dan teroris tidak berhati perut yang tidak dikenali langsung sebelum ini. Perkembangan kelam dan jahat ini pasti bertujuan membunuh psikologi Islamis sejati dan menumpaskan semangat tulen jihad. Pameran durjana dan gambaran menyayatkan tentang ungkapan Shahadah, La ila ha illal Lah Muhammad ur Rasulullah oleh teroris mengguris fikiran dan jiwa Muslim dan Non Muslim. Distorsi jelek teroris mengibarkan lambang khataman nabiyyin pada bendera-bendera hitam sewaktu melakukan aksi ganas dan brutal meninggalkan bekas mendalam ke atas sanubari dan memberi kesan psikologi parah serta parut yang buruk kepada ingatan dan minda banyak terutama golongan muda.
Kuasa Keras dan Kuasa Halus
Banyak di kalangan penganalisis politik, cendekiawan dan pemerhati beranggapan “Memerangi Teror” hanya sebagai “Peperangan ke atas Islam” tanpa memerlukan pengisytiharan perang. Islam diperhatikan diserang daripada segenap sudut melalui penggunaan strategi kuasa keras dan kuasa halus. Kuasa keras melalui perang dan serangan fizikal semata-mata untuk menumpaskan orang Islam supaya tunduk dan menyerah kalah. Sementara kuasa halus menggunakan taktik senyap-senyap, psikologi dan kawalan minda melalui propaganda agresif perang saraf dan diplomasi gigih.
Penggunaan kuasa halus dalam diplomasi dunia dengan ungkapan, a dramatic increase in spending on civilian instruments of national security – diplomacy; strategic communications, foreign assistance, civic action, and economic reconstruction and development – pertambahan mendadak perbelanjaan ke atas instrumen-instrumen awam keselamatan negara – iaitu diplomasi; komunikasi strategik, bantuan kepada negara asing, tindakan sivik, dan pembangunan ekonomi serta pembangunan.
Kuasa halus mensasarkan minda dan psikolgi golongan muda. Bagi menambat hati dan menawan minda golongan muda Arab, TV satelit sangat berkesan. Menyiarkan berita-berita memihak dan program-program TV bermanfaat kepada Amerika menandakan titik perubahan penting dalam dasar pembangunan awam US.
Bangkit
Jika kita ambil peduli dan mengkaji secara objektif sejarah dunia apabila umat Islam memerintah sebelum kedatangan dan era penjajahan Barat, kita akan merasa kagum dengan agama Islam yang telah berperanan besar memastikan keamanan dan kestabilan, memekarkan tamadun segar bugar serta dinamik berabad-abad lamanya. Tamadun Andalusia yang hebat, pengalaman Islam Sepanyol telah membidankan dan melahirkan Zaman Pencerahan Eropah pada abad ke 17.
Bagi menangani ancaman dan asakan Islamophobia ini kita mesti bangkit membebaskan diri dan umat daripada penyakit kejahilan, penyakit kemiskinan dan penyakit perpecahan yang kian menghantui kita selama ini. Tugas ini bukan mudah tanpa persiapan, tanpa perancangan dan tanpa berjuang.
Solat menjadi elemen terpenting untuk kejayaan umat Islam. Solat menjadi paksi kehidupan sepanjang hayat dan sekiranya ini dapat dilaksanakan seutuhnya, maka umat Islam akan meraih anugerah Al-Falah oleh ALlah SWT.
Masjid pula menjadi pusat penyatu umat dalam masyarakat Islam yang tekun pasrah beribadah. Maqasid bagi Institusi Masjid adalah untuk membina nilai-nilai kehambaan dan nilai-nilai kekhalifahan. Masjid dan masyarakat yang terpaut hati kepada masjid yang dijamin naungan Allah swt berupaya untuk memimpin perubahan masyarakat agar keluar serta bebas daripada penyakit kejahilan, belenggu kemiskinan dan sengketa perpecahan.

(AHMAD AZAM AB RAHMAN, MENELUSURI ZAMAN : ISLAM DAN KEAMANAN SEJAGAT, Blog Wadah Utara, 2016)
Ahmad Azam adalah Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia Wadah Pencerdasan Umat
I S L A H M E D I A SIRI AZAM 2
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

Ibnu Taymiah, Ngauman di bulan Ramadhan!

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 1