Ibnu Taymiah, Ngauman di bulan Ramadhan!



Pada bulan Rejab 702 Hijrah, berlegar berita bahawa bala tentera Tatar yang besar dalam perjalanan menuju negeri Syam. Rakyat jelata semuanya bimbang dan runsing, histeria kerana ketakutan, para imam masjid mula berqunut nazilah, membaca himpunan Sahih Bukhari. Rakyat berpusu-pusu menjadi pelarian ke negeri Mesir dan wilayah bersebelahan. Pada 18 Rejab, telah tiba bala tentera Mesir yang dipimpin Panglima-Panglima Turki yang masyhur serta disusuli bala tentera tambahan. Maka rakyat kebanyakannya berasa tenang dengan kedatangan mereka, namun penduduk di Halab, Homs dan sekitarnya masih dalam kegusaran. Para Pemimpin dan Panglima berhimpun dan mengangkat sumpah ikrar untuk menentang musuh.
Bergegaslah wira kita Syeikhul Islam ibnu Taymiah menuju ke kubu tentera, dan mengkhabarkan kepada mereka bahawa panglima-panglima dan pemimpin kamu telah bersumpah untuk menentang musuh. Ibn Tamiyah bertanya, “Bagaimana dengan kamu?” Barisan tentera menjawab sederap, “Ya, kami menyahut!”
Sang Imam menbalas, “Sesungguhnya kamu akan berjaya.”
Lantas para pemimpin menjawab pesanan itu dengan berkata, “Insya Allah.”
Ibnu Taymiah memperbetulkan dengan berkata, “Insya Allah semestinya kamu pasti berjaya! Kita semua dizalimi, dan orang yang dizalimi pasti menang. Sesiapa yang dizalimi , Allah pasti menolongnya, oleh yang demikian kejayaan itu pasti, dan pertolongan Allah itu dekat dan janji Allah semestinya ditepati.”
Pada masa yang sama , para ulama sedang dalam kebingungan samada boleh memerangi kaum Tatar ini, kerana mereka pada zahirnya Muslim, dan mereka dianggap tidak melakukan pemberontakan atau bughah keatas pemimpin yang syarie. Maka bangkitlah Ibnu Taymiah menjelaskan, “Mereka itu umpama Khawarij yang menentang Saidina Ali dan Muawiyah rhuma, mereka menyangka mereka lebih berhak keatas pemerintahan dari mereka berdua, mereka juga menyangka mereka lebih berhak untuk menegakkan keadilan antara umat, mereka memburukkan kaum Muslimin kerana perbuatan maksiat yang dilakukan padahal maksiat dan kemungkaran yang mereka sendiri lakukan adalah lebih besar dan berganda.” Hasil dari jawapan tuntas ini, maka para ilmuwan berasa tenang dan yakin.
Tegas Ibnu Taymiah lagi, “Jika kamu nampak aku di barisan tentera Tatar serta menyokong mereka walaupun diatas kepalaku terletaknya mushaf Al-Quran, maka bunuhlah aku.”
Dalam masa yang sama, keadaan di Damsyik kembali kacau bilau kerana bala tentera utama yang dipimpin Sultan di Mesir masih belum tiba. Hanya tentera Syam beserta tambahan tentera dari Panglima Turki sahaja yang berjaga di perbatasan. Rakyat Syam dalam kebimbangan dan berlaku huru hara dan tercetus kecurian serta penjarahan. Sebahagian mereka memanjat menara-menara masjid untuk melihat ke luar bandar mereka, samada tentera Tatar telah tiba atau tidak. Apa nasib mereka? Apa nasib keluarga mereka? Keadaan gusar dan getir ini pernah digambarkan oleh Tuhan pada Surah Al-Ahzab ayat 10-11.
Masa itu ialah masa tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan masa itu ialah masa pemandangan mata kamu tidak berketentuan arah (kerana gempar dan bingung) serta hati pun resah gelisah (kerana cemas takut), dan kamu masing-masing pula menyangka terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan. Pada saat itulah diuji orang-orang yang beriman, dan digoncangkan perasaan dan pendiriannya dengan goncangan yang amat dahsyat.”
Bergegaslah Ibnu Taymiah ke kem tentera Syam. Para panglima dan pemimpin Syam memohon dia pergi bertemu Sultan serta menggesa Sultan agar mengaturgerak tentera utama Mesir bagi mempertahankan Syam. Ibnu Taymiah tanpa membuang masa terus bertemu Sultan dan memaksanya mengerahkan bala tenteranya mempertahankan Syam. Sultan akur dan meminta Ibnu Taymiah agar bersama beliau di barisan tentera Mesir, namun ditolak Imam Ibn Taimiyah yang berkata, “Sunnah mengajar bahawa seseorang itu apabila perang hendaklah berada di bawah panji kaumnya, maka aku akan teguh bersama panji tentera Syam.” Imam Ibnu Taymiah memberi khabar gembira kepada Sultan bahawa kemenangan itu pasti, bahkan bersumpah kepada Allah Taala bahawa tentera Islam akan dibantu, Insya Allah semestinya!
Pada malam Jumaat 29 Syaaban, kemunculan anak bulan menandakan masuk bulan Ramadhan. Manusia bersiap sedia untuk solat terawih dan mereka gembira akan kehadiran bulan penuh barakah ini. Namun pada esoknya hari sabtu, kemaraan bala tentera Tatar bersedia menyerang kaum Muslimin. Maka seluruh warga kota beribtihal yakni berdoa bermunajat kepada Allah swt. Sejurus selepas waktu Zohor pada pukul 2 tengah hari, diumumkan bahawa bala tentera Syam dan Mesir telah diaturgerak di bawah pimpinan Sultan untuk menghadapi Tatar.
Pada 2 Ramadhan kedua-dua tentera saling berhadapan. Imam Ibnu Taymiah mengeluarkan fatwa bahawa harus berbuka puasa sepanjang tempoh perang dan dia sendiri turut berbuka. Dia bergegas mengelilingi tentera Muslimin beberapa kali sambil memakan sedikit makanan di tangannya seraya mengingati para tentera bahawa iftar mereka itu untuk menguatkan diri mereka menentang musuh.
Dia membaca hadis Nabi ﷺ, “Sesungguhnya kamu akan menghadapi musuh, maka iftarlah demi menguatkan kamu.”
Apabila peperangan bermula, Sultan Mesir memimpin dengan penuh thabat serta Khalifah Abu Al-Rabi’ Sulaiman juga berada disampingnya di medan perang. Sultan mengikat kudanya agar ia tidak lari. Ketika perang bermula, telah gugur syahid sebilangan besar pemimpin-pemimpin Islam dan Syam, namun pertolongan Allah tiba lalu tentera Muslim berjaya menangkis serangan Tatar. Tentera Tatar terpaksa berundur ke pergunungan dan tanah tinggi kerana tidak mampu menghadapi serangan tentera Islam. Sebilangan besar Tatar telah dikepung hingga waktu fajar oleh tentera Muslimin lalu dibunuh sebahagian besar mereka. Ada di antara tentera Tatar yang tersungkur di lembah-lembah dan ada yang hanyut dibawa sungai Furat.
Pada 4 Ramadhan, Syeikhul Islam Ibnu Taymiah yang baru sahaja mengaum di medan perang bersama tentera Syam kembali memasuki kota Damsyik. Bergembiralah seluruh rakyat Syam serta berdoa untuk Imam yang telah berjasa. Kemudian tibalah Sultan pada hari kelima Ramadhan bersama Khalifah, bala tenteranya dalam keadaan gembira dan megah. Alhamdulilah, bersempena Ramadhan yang mulia, kemenangan digarap oleh Umat Islam ketika itu.
Semuanya dengan jasa seorang Ulama yang cergas turun ke medan perbatasan melakukan amar makruf nahi munkar serta berani menghadapi musuh Islam.
SubhanALLAH

(Nukilan : Omar Mokhtar bin Hamdan Al-Rupawani, TYDP ABIM Pulau Pinang)
(Rujukan : Rijalul Fikri Wad Dakwah Fil Islam oleh Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi)

I S L A H M E D I A SIRI 5
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN