DR SIDDIQ FADZIL: IBRAH ISLAH DAN TRANSFORMASI BERMAKNA



Bagi memastikan kelestarian dan kemampanan kuasa rakyat dan keupayaan membawa islah serta transformasi bermakna, Dr Siddiq Fadil menawarkan formula dengan menyingkap beberapa qisasul anbiya’ kisah Rasul-Rasul a.s. dalam al Qur’an dan model transformasi Dhul Qarnayn di dalam surah al Kahfi.
NABI MUSA A.S. DAN BANI ISRAIL
Bani Israil berada berkurun lama berhamba dibawah naungan memukau Firaun. Mereka hilang maruah insan, tandus harga diri, menjadi penakut bacul dan tak punya jiwa pejuang maka mereka warisi dan terima perhambaan hina turun temurun. Keadaan ini hasil kefasadan iman menjadikan alpa dan lupa hingga sorang insan menjadi angkuh dan bongkak mengagongkan diri dan brutal. Manusia yang meletakkan nafsunya sebagai pujaan. Daripada tahap fasad al nufus – kefasadan jiwa kepada fasad sosial - fasad al mujtama. Hubungan kemanusiaan retak berkecai. Hilang saling hormat menghormati, persaudaraan, kebersamaan, kerjasama dan sifat ingin melakukan kebaikan. Sebaliknya dipupuk saling benci membenci, mementingkan diri sendiri dan permusuhan sepanjang zaman menjadi resam. Mereka yang melampau batas kemanusiaan menjadi dewa bermaharajalela dan mereka yang lemah menjadi hamba diperas dan dipergunakan dewenang-wenangnya.
Nabi Musa a.s. tabah berdepan dengan kedegilan Bani Israil walaupun setelah Firaun dan bala tenteranya musnah ditelan lautan. Musa disifatkan dengan qawiyyul amin – kompeten dan beramanah. Selama 40 tahun Bani Israil merayau dalam buangan di tengah-tengah padang pasir panas dan gersang bagi melangsungkan hidup. Jiwa perjuangan sebahagian watak sesebuah bangsa. Jiwa pejuang tidak dibina secara serta merta setelah teruk luntur dan reput. Tanpa kesedaran sejati, kepekaan dan ruh perjuangan, bangsa jatuh disebabkan fasad dan menjadi pengecut (al jubn) dijangkiti cinta dunia dan takut mati (al wahn). Begitulah dibina semula generasi yang sebelum ini berjiwa hamba manusia. Bayangkan situasi generasi Islam yang terpaksa menerima agama tanpa dimensi jihad.
NABI YUSUF A.S. MENYELAMATKAN MESIR
Al Qur’an menampilkan Yusuf `a.s. dengan citra unggul al-siddiq, peribadi berintegriti tinggi, watak terpadu, manusia serba benar: pemikiran, percakapan dan perbuatannya. Panggilan al-siddiq yang terangkai dengan namanya adalah indikasi jelas pengiktirafan masyarakat terhadap ketinggian tahap integritinya, yang tentunya telah teruji dan terbukti dalam rekod masa lalunya.
Kurnia ilmu (menta’bir mimpi) tidak digunakan untuk kepentingan diri, tetapi dimanfaatkan demi kepentingan umat. Tanpa menuntut sebarang imbalan, Nabi Yusuf `a.s. memberikan khidmatnya lebih daripada yang diminta, bukan sekadar memaknai mimpi sebagai petanda bencana yang akan berlaku, tetapi juga merumuskan sebuah pakej penyelamat ekonomi Mesir.
Dengan wawasan dan daya renung yang jelas seorang pemimpin dapat bersiap menghadapi segala kemungkinan dengan langkah dan strategi proaktif-antisipatif berhadapan dengan pengurusan krisis. Nabi Yusuf `a.s. menyarankan etos kerja kuat memaksimumkan guna tenaga rakyat, memaksimumkan pengusahaan tanah untuk memaksimumkan kadar penghasilan. Pembangunan ekonomi tidak hanya bergantung kepada sumber asli, modal dan infrastruktur; bahkan budaya kerja kuat.
Perancangan ekonomi Nabi Yusuf `a.s. yang beramanah dan berpengetahuan – hafizun ‘alim berprinsip keseimbangan antara penghasilan, penggunaan (konsumsi) dan penabungan. Dasar pengurusan ekonomi berhemat dan berimbang yang produktif serta menolak ketirisan, pemborosan dan pembaziran.
DHUL QARNAYN DAN ANCAMAN TEROR YAJUJ MAJUJ
Dhul Qarnayn mempamerkan kepimpinan transformasional merubah watak sebuah bangsa yang hidup diancam teroris Yajuj Majuj. Dhul Qarnayn pemimpin global ulung dan hebat mengurustadbir. Dalam pengembaraannya, dia menemui satu bangsa yang jahil, lemah dan malas diambang ditimpa bahaya. Bangsa ini menawarkan habuan dan upah tetapi Dhul Qarnayn menolak kerana tidak mahu mengeksploitasi orang yang lemah dan terkebawah. Dhul Qarnayn tidak meminta ganjaran atau ghanimah untuk berkhidmat, sebaliknya Dia memberdayakan bangsa itu, melibatsertakan mereka dalam projek pertahanan raksaksa. Dengan demikian, mereka menjalani proses perkongsian pendidikan dan menggembling potensi mereka sendiri untuk berjaya. Bersama-sama mereka membina penyelesaian kejuruteraan, tembok menghalang kemaraan Yajuj Majuj, mengatasi kelemahan dalaman mereka sekaligus menangani ancaman luar.

(Susunan daripada siri-siri koleksi Tafsir Maudu’iy Dr Siddiq Fadzil yang lalu)

I S L A H M E D I A SIRI USF
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN