BEBERAPA CORETAN PEMIKIRAN AL MARHUM DR MUHAMMAD ‘IMARAH



Tentang Kebangkitan Islam dan aliran semasa, Muhammad ‘Imarah menegaskan bahawa kebangkitan Islam itu ialah memberi kesedaran yang menyeluruh kepada umat Islam dan menjadikan umat Islam merdeka yang sebenarnya. Sememangnya sepanjang sejarah Islam terdapat tokoh-tokoh dan gerakan yang memberi kesedaran dan ingin membaiki kelemahan umat Islam tetapi serangan pemikiran Barat dan penjajahan telah memusnahkan pergerakan tersebut. Kebangkitan Islam bukanlah sekadar kemerdekaan dari segi fizikal, bukan sahaja kemerdekaan dari segi ekonomi tetapi juga adalah kemerdekaan ketamadunan (Istiqlal hadari).
Umat Islam perlu mempunyai ciri-ciri yang membezakannya dengan umat yang lain. Kunci kepada kebangkitan Islam ialah mempelajari dan mengamati isu-isu dan cabaran sejarah dan ketamadunan dalam melawan pemikiran Barat. Tidak dinafikan bahawa dalam kebangkitan Islam itu terdapat aliran yang keras dan radikal tetapi diyakini aliran ini amat terbatas dan kesannya sedikit. Perkara yang penting dalam kebangkitan Islam ialah aliran pembaharuan (harakah al-Ihya wa al-Tajdid) iaitu yang bersumberkan kepada pemikiran yang bernas dan memiliki kekuatan sehingga umat dapat membina ketamadunan yang mampu menyegarkan pemikiran dan menonjolkan nilai-nilai yang baik dalam berpolitik, ekonomi dan kemasyarakatan serta mampu untuk menangkis serangan Barat dan kelemahan yang diwarisi dari kerajaan Mamalik dan Uthmaniah.
Menurut Muhammad ‘Imarah aliran pertengahan yang dibawa oleh al-Afghani dan Muhammad Abduh, Rashid Reda dan Hassan al-Banna merupakan aliran tajdid dan pembaharuan yang paling layak diikuti. Oleh sebab itu, beliau menulis, mengkaji dan menyunting tulisan-tulisan mereka dan memerangi segala bentuk fanatik agama dan pemikiran barat yang merosakkan.
Muhammad ‘Imarah menyandarkan dirinya kepada aliran wasatiyyahdan sentiasa menyeru kepada wasatiyyah yang menyeluruh yang mengabungkan ciri-ciri kebenaran dan keadilan. Akal Islami ialah mengabungkan akal dengan wahyu. Iman Islami ialah mengabungkan iman kepada yang ghaib dengan iman kepada alam yang nyata. Wasatiyyah Islam merupakan satu keperluan kerana ia adalah ciri-ciri keistimewaan umat Islam dan pemikiran Islam. Fiqh Islami juga adalah fiqh yang sederhana dan seimbang iaitu mengabungkan syariat yang tetap dengan realiti yang berubah-ubah, mengabungkan fiqh hukum dengan fiqh realiti. Dengan itu Allah menjadikan umat Islam sebagai umat yang pertengahan dan seimbang.
Beliau juga menegaskan bahawa Islam adalah agama dan daulah. Dalam aliran sekular, negara adalah pemisah antara agama dengan pemerintahan. Bagi Islam, ia merupakan akidah, syariah, agama dan daulah. Ia bukan risalah spiritual semata-mata. Daulah dalam Islam berlainan sekali dengan kefahaman dalam agama Kristian. Nadhah umat Islam, kebangkitannya apabila ia melaksanakan syariat dalam Negara Sivil Islam (al-Daulah al-Madaniyyat al-Islamiah). Tetapi apabila ia lari dari pengislaman undang-undang, ia merupakan permulaan jalan kepada umat Islam ke arah jumud dan kemunduran. Penyimpangan ini telah berlaku pada pada masa lalu apabila tidak menggunakan undang-undang syariah dalam perundangan negara. Sekular bukan jalan bagi umat Islam untuk maju tetapi kemajuan umat Islam ialah kesedaran dan pelaksanaan fiqh serta perundangan yang sebenar dengan ajaran Islam.
Muhammad ‘Imarah menegaskan bahawa Islam adalah al-Din wa al-Dawlah dan kita mesti percaya dengan yakin hakikat ini. Ini sekaligus menafikan persamaan kita dengan perkara yang dialami oleh tamadun Barat dalam isu ini. Kita mengetahui terdapat segelintir dari umat Islam yang terpengaruh dengan menyatakan bahawa Islam mempunyai persamaan dalam isu ini dengan menyatakan Islam adalah risalah spiritual semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan politik dan kekuasaan.
Mengenai aliran pemikiran, Muhammad 'Imarah menyebutkan bahawa aliran yang menghidupkan pembaharuan Islam, mereka ini berada dalam madrasah Asolah al-Fikriyyah Fi Shari‘atina wa Tasri‘atina. (aliran pemikiran asli dalam syariah dan perundangan).Antara mereka yang berada dalam aliran ini ialah Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradawi, Muhammad ‘Abduh, Rashid Rida, Mahmud Shaltut, Abdullah Darraz, Muhammad al-Khudari dan Abu Zahrah.
Muhammad ‘Imarah juga melihat pemikiran Islam masa kini ada tajdid(pembaharuan) dan ada juga taghrib (pembaratan), ada tanwir(penjernihan) dan ada juga tazwir (pemalsuan). Ini mengindikasikan adanya krisis pemikiran di kalangan umat Islam. Krisis pemikiran ini semakin parah dalam pertengahan abad ke 18M apabila seluruh dunia Islam telah menjadi sasaran terbuka bagi pemikiran Barat dengan tingkat yang berbeza-beza. Generasi Islam berhadapan dengan serangan pemikiran barat dan pemikiran Islam satu persatu lenyap dan mengalami kebekuan.
Muhammad ‘Imarah menghuraikan istilah fundamentalis yang sering disalahertikan oleh barat. Menurutnya, umat Islam terlalu terjebak dengan terminologi yang merugikan dan menjadi kewajipan kita untuk membebaskan terminologi-terminologi dengan makna yang sebenar dan menyelamatkan pemikiran Islam dari bahaya yang ditimbulkan. Terminologi fundamentalisme yang beredar di kalangan sarjana, kebudayaan dan tokoh politik sekarang adalah terminologi yang tumbuh di Barat dan memuatkan kandungan pengertian Barat.
Menurut Muhammad Imarah lagi, istilah-istilah seperti sahwatul Islamiah (kebangkitan Islam), Tajdid al-Islami (pembaharuan Islam), Tanwir al-Islami (Pencerahan Islam), Al-Wa’iyy al-Islami (Kesedaran Islam), al-Ihya’ al-Islami ( Penghidupan Islam) merupakan terma yang diterima pakai untuk mengambarkan kepada pembaharuan dan kebangkitan dakwah Islamiah di seluruh dunia. Kesemua istilah tersebut memerlukan umat Islam untuk melakukan pembaharuan untuk mereka memimpin dunia pada masa yang akan datang.
Muhammad ‘Imarah juga melihat pembaharuan seruan agama (khitab al-Tajdid al-Islami) yang diwarwarkan oleh Amerika hanyalah untuk kepentingan Amerika dan sekutunya. Ia bertujuan untuk memisahkan dan memutuskan umat Islam daripada turath Islam dan manhajnya yang sempurna. Islam moden yang dilaungkan oleh Amerika hanya berbentuk syiar agar berlembut dengan politik Amerika supaya hilang makna perjuangan dan jihad yang sebenar demi membebaskan umat Islam. Muhammad ‘Imarah tidak menafikan perlunya pembaharuan agama dengan hasrat untuk melihat kembali isu-isu umat Islam demi kebangkitan agamanya serta kepentingan umat tetapi bukan untuk kepentingan Amerika dan sekutunya.

(Dipetik dan diadaptasi daripada tulisan Ustaz Mohd Rumaizuddin Ghazali 2007 di Minda Madani Online)

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: IBRAH ISLAH DAN TRANSFORMASI BERMAKNA

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 1