DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)



Memahami Pesan-pesan Ilahi dalam surah al-Isra’:73-77

وَإِنْ كَادُوا لَيَفْتِنُونَكَ عَنِ الَّذِي أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ لِتَفْتَرِيَ عَلَيْنَا غَيْرَهُ وَإِذًا لاتَّخَذُوكَ خَلِيلا (٧٣) وَلَوْلا أَنْ ثَبَّتْنَاكَ لَقَدْ كِدْتَ تَرْكَنُ إِلَيْهِمْ شَيْئًا قَلِيلا (٧٤) إِذًا لأذَقْنَاكَ ضِعْفَ الْحَيَاةِ وَضِعْفَ الْمَمَاتِ ثُمَّ لا تَجِدُ لَكَ عَلَيْنَا نَصِيرًا (٧٥) وَإِنْ كَادُوا لَيَسْتَفِزُّونَكَ مِنَ الأرْضِ لِيُخْرِجُوكَ مِنْهَا وَإِذًا لا يَلْبَثُونَ خِلافَكَ إِلا قَلِيلا (٧٦) سُنَّةَ مَنْ قَدْ أَرْسَلْنَا قَبْلَكَ مِنْ رُسُلِنَا وَلا تَجِدُ لِسُنَّتِنَا تَحْوِيلا (٧٧)

73. Dan mereka hampir memalingkan engkau (Muhammad) dari apa yang telah Kami Wahyukan kepadamu, agar engkau mengada-ada yang lain terhadap Kami; dan jika demikian tentu mereka menjadikan engkau sahabat yang setia.
74. Dan sekiranya Kami tidak memperteguh (hati)mu, nescaya engkau hampir sahaja condong sedikit kepada mereka,
75. jika demikian, tentu akan Kami rasakan kepadamu (siksaan) berlipat ganda di dunia ini dan berlipat ganda setelah mati, dan engkau (Muhammad) tidak akan mendapat seorang penolong pun terhadap Kami.
76. Dan sungguh, mereka hampir membuatmu (Muhammad) gelisah di negeri (Mekah) kerana engkau harus keluar dari negeri itu, dan kalau terjadi demikian, nescaya sepeninggalanmu mereka tidak akan tinggal (di sana), melainkan sebentar sahaja.
77. (Yang demikian itu) merupakan ketetapan bagi para rasul Kami yang Kami Utus sebelum engkau, dan tidak akan engkau dapati perubahan atas ketetapan Kami.

Demikianlah pola fikir musuh-musuh dakwah yang selalu memperlakukan agama seperti bisnes: tawar-menawar, memberi dan menerima untuk meraih keuntungan bersama (win-win). Tetapi pejuang-pejuang tulen di jalan Allah tidak mudah terjebak dalam tipu-daya jual-beli agama sedemikian kerana mereka dibekali kekuatan istimewa oleh Allah s.w.t., yang kerananya mereka mampu bersikap tegas dan tegar dalam menghadapi taktik dan strategi licik pihak lawan. Memang para da`i tidak boleh naïf ketika berhadapan dengan sepak terajang permainan lawan, dan tidak boleh berfikir simplistik, “apalah salahnya merelakan sedikit pengorbanan demi misi yang lebih besar!”. Musuh-musuh dakwah akan selalu mengeksploitasi kelemahan manusiawi para da`i (keinginan terhadap harta, pangkat dan hal-hal keduniaan lainnya) untuk memaksakan kompromi menurut syarat-syarat mereka. Tanpa suntikan kekuatan istimewa (tathbit) dari Allah s.w.t. memang besar sekali kemungkinan para da‟i (kerana kelemahan-kelemahan manusiawinya) tergiur dengan godaan-godaan duniawi. Jika Nabi ﷺsendiri pun memerlukan tathbit (pemantapan/penguatan) dari Allah s.w.t. untuk selamat dari jebakan tersebut (ayat 74), orang lain tentu lebih memerlukannya lagi.
Dengan andaian kompromi sedemikian itu terjadi, seperti yang disebut pada ayat 75, Rasulullah ﷺtidak akan terkecuali dari tanggungjawab menerima padah hukuman berganda duniawi-ukhrawi. Bagaimanapun itu hanyalah sekadar andaian, yang hakikatnya memang tidak mungkin terjadi kerana Allah melindungi dan memeliharanya dari tipu-daya manusia. Mesej ayat 75 itu sebenarnya ialah untuk menyatakan ketetapan hukuman Allah menggandakan balasan ke atas pemimpin yang menyeleweng. Pemimpin bukan orang awam, tetapi seorang yang diberikan kelebihan kurnia, kuasa dan tanggungjawab memandu umat ke arah kebenaran di samping menjadi teladan perilaku yang benar. Kerana itu penyalahgunaan kuasa dan tanggungjawab mewajarkannya menerima hukuman ganda, lebih berat daripada hukuman yang ditimpakan ke atas orang awam yang hanya menjadi pengikut. Demikianlah, status yang ditempati dan kurnia yang diperolehi turut menentukan berat ringannya hukuman apabila melanggar perintah Allah. Andainya Rasulullah ﷺ menyetujui kompromi yang tentunya membawa pelbagai keuntungan duniawi - kekayaan dan kekuasan, Tuhan mengingatkan bahawa seuntung mana pun dari segi duniawi, segalanya itu tidak akan dapat membantunya menyelamatkan diri dari hukuman-Nya. Siapa pun juga yang terusir dari ri`ayah – pemeliharaan Allah pasti akan binasa.

Sesuai dengan etika dialog, Rasulullah ﷺ memang bersedia mendengar formula kompromi yang sampaikan oleh wakil Quraysh, `Utbah ibn Rabi`ah (Abu ‘l-Walid). Sabdanya, “Bicaralah wahai Aba ‘l-Walid, saya sedia mendengarnya.”. Demikianlah mulianya akhlak Nabi s.`a.w. yang membiarkan Abu ‘l-Walid berbicara hingga selesai tanpa mengganggunya sekalipun segala yang dibicarakannya adalah nonsense semata-mata. Hanya setelah selesai, Rasulullah ﷺbertanya, “Adakah anda sudah selesai wahai Aba ‘l-Walid?”. Apabila Abu ‘l-Walid menjawab, “Ya”, barulah Nabi ﷺ berkata, “Sekarang dengar, saya pula yang bicara”. Junjungan ﷺ menjawab tawaran kompromi `Utbah ibn Rabi`ah itu dengan membaca ayat-ayat dari surah Fussilat yang kandungannya jelas dan tegas menolak kompromi.

Usaha untuk berkompromi ternyata telah gagal. Kerana itu musyrikin Quraysh meningkatkan gangguan dan deraan mereka hingga ke tahap mahu mengusir Rasulullah ﷺ dari bumi Makkah (ayat 76). Tetapi Allah s.w.t. mempunyai takdir perancangan lain. Rasulullah ﷺ diperintahkan berhijrah ke Madinah. Pengusiran dalam erti kata yang sebenarnya tidak berlaku. Kerana itu kaum musyrikin Quraysh terselamat dari nasib kehancuran total dalam masa singkat setelah pengusiran. Hikmah Tuhan menetapkan bahawa kaum Quraysh tidak dihabisi hingga ke akar umbinya sebagaimana umat lain yang telah mengusir rasul mereka. Tuhan masih menghendaki sebahagian mereka akan beriman, dan Tuhan juga menghendaki agar nanti berlaku fathu - pembukaan Makkah atau pembebasan Makkah yang diikuti pengislaman beramai-ramai warganya. Andainya musyrikin Makkah benar-benar mengusir Rasulullah ﷺ, tentunya mereka telah dibinasakan tidak lama selepas pengusiran, kerana memang demikianlah ketetapan sunnatu ‘Llah, undang-undang ketuhanan yang tidak pernah berubah (ayat 77). Justeru, mengusir Rasul adalah jenayah berat yang mewajarkan hukuman pembinasaan. Bagaimanapun mereka tetap menerima hukuman kerana telah menganiaya Rasulullah ﷺ hingga hampir mengusirnya dari bumi Makkah. Tidak lama selepas Junjungan ﷺ berhijrah mereka hampir binasa sepenuhnya dalam peperangan Badr.

Rumusan Pengajaran

Mengulas isu tawaran kompromi dalam ayat-ayat al-Isra’ ini Sayyid Qutb mengatakan bahawa ia adalah taktik biasa golongan berkuasa (ashab al-sultan) dalam menghadapi para pejuang dakwah (ashab al-da`wat) sepanjang zaman. Mereka sentiasa melakukan percubaan memperdaya orang-orang dakwah agar menyimpang - walau sedikit - dari sikap tegar, istiqamah dan konsisten dalam dakwah, rela menerima penyelesaian “jalan tengah” demi imbalan habuan mewah. Menurut Sayyid Qutb, memang ada sebilangan kaum pendakwah yang benar-benar terpedaya kerana menganggap kompromi sebagai isu kecil, mereka tidak diminta meninggalkan dakwah seluruhnya, yang diminta hanya sedikit modifikasi untuk memungkinkan penemuan titik kesepakatan antara kedua pihak. Dalam proses ini mungkin syaitan ikut berperanan dengan membisikkan idea curang bahawa demi kejayaan dakwah, orang besar-besar, golongan berkuasa dan berpengaruh itu perlu ditarik, dan untuk itu tidak ada salahnya jika pihak pendakwah melakukan sedikit pengorbanan atau small concession.

Sayyid Qutb mengingatkan bahawa penyimpangan kecil di pangkal jalan itu akan berakhir dengan penyimpangan besar-besaran di hujung jalan. Orang-orang dakwah yang sedikit mengalah pada permulaannya, akan terus kalah hingga ke hujungnya kerana kesediaannya untuk mengalah dan menyerah itu semakin bertambah dari masa ke masa dengan bertambahnya habuan dan meningkatnya keinginan. Sementara itu di pihak lain, golongan berkuasa tidak berhenti-henti dengan tipu-dayanya. Sekali orang dakwah mengalah, hilanglah kehebatan dan kredibilitinya, dan ketika itu golongan berkuasa menjadi bertambah yakin bahawa mereka boleh mendesak dan mengasakkan kompromi demi kompromi yang berterusan sehingga akhirnya dakwah kehilangan segala-gala - esensi dan misi hakikinya. Dalam kaitan ini Sayyid Qutb mengingatkan bahawa kesediaan mengkompromikan dakwah untuk memenangi hati orang besar-besar yang berkuasa dan berpengaruh pada hakikat adalah gejala kekalahan psikologikal (al-hazimat al-nafsiyyah). Kejayaan dakwah tidak bergantung kepada dukungan orang besar-besar. Yang menentukan kejayaan dakwah adalah kuasa Tuhan yang sentiasa memberkati istiqamah dan keikhlasan amal perjuangan. Hanya kepada Allah Yang Maha Esa para da`i harus bergantung selamanya. Semoga Allah berkenan memperteguh dan memantapkan hati kita serta menyelamatkan kita dari segala tipu-daya.

(Dr Siddiq Fadzil: Tafsir Maudu'iyy siri 67 MEWASPADAI TIPU-DAYA MUSUH-MUSUH DAKWAH)
TM67 27/12/2013

I S L A H M E D I A SIRI USF
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

Dr Siddiq Fadil : Syarat Kemenangan

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah