Dr Siddiq Fadil : Syarat Kemenangan



 

ٱلَّذِينَ إِن مَّكَّنَّٰهُمْ فِى ٱلْأَرْضِ أَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتَوُا۟ ٱلزَّكَوٰةَ وَأَمَرُوا۟ بِٱلْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا۟ عَنِ ٱلْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَٰقِبَةُ ٱلْأُمُورِ

 (iaitu) orang-orang yang jika Kami Beri kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan. (Surah al Hajj:41)

 

Memang Allah Maha Berkuasa melaksanakan kehendak-Nya (membinasakan musuh-musuh agama-Nya) tanpa susah-payah, tanpa menumpahkan walau setitik darah kaum mukminin. Tetapi tentu ada hikmah, sebab tersirat di balik perintah berperang, bahawa Tuhan tidak menginginkan agama ini didukung oleh orang-orang malas, mereka yang hanya ingin bersantai, yang merasa cukup dengan mendirikan solat dan membaca al-Kitab serta menadah tangan ke langit ketika menghadapi bahaya pencerobohan.

 

Memang orang mukmin harus menunaikan solat, harus membaca al-Kitab dan bermunajat kepada Allah setiap saat, ketika senang dan ketika susah. Tetapi ibadat-ibadat tersebut semata-mata belum cukup melayakkan mereka menjadi pendukung agama Allah. Ibadat-ibadat tersebut hanyalah sebahagian daripada bekalan yang perlu disiapkan sebagai kekuatan tambahan untuk mengharungi medan perjuangan. Senjata fizikal harus sepadan dengan senjata musuh, sementara taqwa adalah senjata spiritual yang hanya ada pada kaum mukminin. Demikianlah kehendak Allah, bahawa pembelaan dan pertolongan-Nya tersalur menerusi daya lawan kaum mukminin. Hanya dengan kemampuan bertarung di medan perang segala potensi kekuatan terpendam yang mereka miliki akan tumbuh perkasa dengan sempurna. Tuhan menghendaki agar para pendukung agama-Nya memaksimumkan seluruh kekuatan yang dikurniakan-Nya kepada mereka. Sesungguhnya misi penyiaran dan pendaulatan agama Allah adalah amanah berat yang hanya dapat dipikul oleh umat yang kuat, umat berdaya juang yang terbina dalam keperitan rebah bangun di kancah pertarungan.

 

Memang bukan kehendak Tuhan menghadiahkan kemenangan mudah. Justeru, kemenangan mudah dan segera yang dihadiahkan tanpa susah payah kepada orang-orang yang berbudaya santai tidak akan meledakkan kekuatan terpendam di pedalaman diri mereka. Selain itu kemenangan segera dan mudah akan segera dan mudah pula hilangnya kerana ia akan dirasakan sebagai suatu yang murah, dapat diraih tanpa membayarnya dengan pengorbanan yang mahal. Kemenangan segera dan mudah juga tidak akan kekal lama kerana ia tidak akan mampu dipertahankan oleh mereka yang tidak terlatih dan teruji dalam hempas-pulas perjuangan. Demikianlah hikmah di sebalik sukar dan lambatnya kemenangan bagi umat silam, generasi yang dizalimi dan diusir dari kampung halaman tanpa alasan selain kerana mereka berpendirian “Tuhan kami ialah Allah!”. (Surah al Hajj: 40)

ٱلَّذِينَ أُخْرِجُوا۟ مِن دِيَٰرِهِم بِغَيْرِ حَقٍّ إِلَّآ أَن يَقُولُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ۗ

 

Kemenangan Yang Tertangguh

 

Dalam tafsir al-Zilal-nya, Sayyid Qutb menyenaraikan kemungkinan-kemungkinan yang menyebabkan tertangguhnya kemenangan bagi kaum mukminin:

 

· Kemenangan tertangguh kerana persediaan umat mukminin belum cukup matang, belum cukup siap dan belum maksimum sehingga andainya diberi kemenangan ketika itu, kemenangan itu tidak akan bertahan lama kerana mereka tidak akan mampu mempertahankannya

 

· Kemenangan tertangguh kerana umat mukminin belum mencurahkan seluruh tenaga keupayaannya dan belum mengorbankan segala yang dimilikinya sehingga tidak tersisa lagi sesuatu yang berharga, sehingga semua yang ada, yang mahal dan yang murah sudah diserahkan untuk membiayai perjuangan di jalan Allah.

 

· Kemenangan tertangguh sehingga umat mukminin menggunakan kekuatan terakhirnya, lalu dengan begitu mereka menginsafi bahawa tanpa pertolongan Allah, kekuatan mereka semata-mata tidak akan membawa kemenangan. Sesungguhnya kemenangan akan dikurniakan setelah mereka menggunakan kekuatan terakhir dan kemudiannya menyerahkan segalanya kepada Allah.

 

· Kemenangan tertangguh agar umat mukminin mempereratkan lagi hubungan dengan Allah, sehingga pada saat menempuh derita perang mereka benar-benar merasakan bahawa sesungguhnya tidak ada lagi tempat untuk mengadu dan meminta selain hanya Allah Yang Maha Esa. Hubungan erat dengan Allah inilah yang akan menjamin istiqamah mereka nanti apabila Allah Berkenan mengurniakan kemenangan, bahawa mereka tidak akan menyeleweng dari kebenaran, keadilan dan kebaikan yang kerananya Allah memenangkan mereka.

 

· Kemenangan tertangguh kerana umat mukminin belum benar-benar tulus dalam perjuangan dengan niat murni semata-mata kerana Allah dan dakwah agama-Nya. Mungkin masih ada dalam kalangan mereka yang berjuang kerana motif-motif lain yang tidak murni: mungkin untuk meraih kepentingan tertentu, mungkin kerana dorongan emosi marah semata-mata, atau mungkin untuk mencari glamour sebagai jaguh pertarungan atau lain-lain sepertinya, sedang Allah Menghendaki agar setiap orang berjuang semata-mata kerana-Nya dan di jalan-Nya. Pada suatu ketika Rasulullah s.`a.w. pernah ditanya tentang seorang yang berperang kerana dorongan gejolak emosi, seorang lagi berperang untuk mempamerkan keberanian, dan seorang yang lain berperang untuk menonjol-nonjolkan diri, siapakah di antara mereka yang berjuang di jalan Allah? Rasulullah s.`a.w. menjawab, “Siapa yang berjuang agar Kalimat Allah terjulang tinggi, dialah yang berjuang di jalan Allah.”

 

· Kemenangan tertangguh kerana masih ada sisa kebaikan pada pihak musuh yang diperangi. Tuhan menghendaki agar sisa kebaikan itu lenyap sama sekali, dan hanya tinggal kejahatan sepenuhnya, barulah akan ditimpakan kehancuran total tanpa ada sisa kebaikan yang turut terkorban.

 

· Kemenangan tertangguh kerana kebatilan yang diperangi itu belum terdedah sepenuhnya di mata khalayak massa. Andainya kemenangan diraih dalam keadaan seperti itu, masih akan ada pendukung-pendukungnya yang tertipu dengan kebatilan yang belum tampak jelas batilnya itu. Dengan kata lain, kebatilan tersebut masih mengakar pada segolongan orang innocent yang masih belum dapat melihat hakikat. Allah menghendaki agar kebatilan itu terus wujud beberapa lama sehingga ia terdedah sepenuhnya di hadapan semua orang. Dengan demikian kehancurannya nanti tidak akan disesali oleh sesiapa pun.

 

· Kemenangan tertangguh kerana iklim persekitaran yang belum cukup bersedia untuk menyambut kebenaran, keadilan dan kebaikan yang dibawa oleh kaum mukminin. Andainya kemenangan dicapai ketika keadaan masih seperti itu, sudahnya ia akan ditolak oleh masyarakat yang belum bersedia itu. Biarlah pertarungan terus berlangsung sehingga jiwa dan minda masyarakat seluruhnya bersedia menerima kemenangan kebenaran, dan siap untuk mempertahankannya.

 

Demikianlah antara sebab, di samping sebab-sebab lain yang Allah sendiri yang Mengetahuinya, mengapa kemenangan masih tertunda, dan kerana itu perjuangan dengan segala pengorbanan dan deritanya terus berlanjutan dengan keyakinan akhirnya Allah akan memberikan kemenangan.

 

Syarat Kemenangan

 

Memang janji Allah untuk memenangkan mereka yang menolong (menegakkan) agama-Nya adalah suatu kepastian, tetapi kemenangan tidak diberikan tanpa syarat. Sesungguhnya kemenangan selamanya terikat dengan sejumlah tanggungjawab. Justeru, kemenangan tidak diberikan kerana kemenangan itu sendiri, tetapi ia diberikan untuk menjadi wahana islah ke arah aktualisasi cara hidup dan tamadun berasaskan nilai-nilai Ilahiah. Yang dijanjikan kemenangan ialah mereka “…yang jika Kami berikan kedudukan di bumi, mereka melaksanakan solat, menunaikan zakat, dan menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” - (al Hajj: 41)

 

Demikianlah empat syarat kemenangan: pertama, melaksanakan solat dalam pengertian mengabdi sepenuh dan setulusnya kepada Allah, mempererat hubungan dengan Allah dan sentiasa menghadap-Nya dengan patuh, merendah dan menyerah. Dengan kata lain, Allah harus sentiasa didahulukan; kedua, menunaikan zakat dalam pengertian melaksanakan tanggungjawab kehartaan (haqq al-mal), mengikis sifat bakhil, mengenyah sifat tamak, membebaskan diri dari nafsu kebendaan, dan prihatin terhadap kaum yang lemah (miskin); ketiga, menyuruh berbuat yang makruf dalam pengertian memperjuangkan kebaikan, nilai-nilai murni dan mendorong masyarakat mengamalkan cara hidup sihat dan bermoral berasaskan nilai-nilai makruf, mulia dan terpuji; dan keempat, mencegah dari yang mungkar dalam pengertian komitmen melawan segala bentuk kejahatan dan penyelewengan, memperjuangkan perubahan dan pembebasan umat dari budaya bobrok dan bejat. Kepada Allah-lah kembali segala urusan, sesungguhnya Allah adalah penentu kesudahan segalanya, memenangkan yang kalah atau mengalahkan yang menang, tergantung pada syarat-syarat yang telah di tetapkan-Nya, ditepati atau tidak. Demikianlah hakikatnya, bahawa kemenangan selamanya bersyarat, di samping ia juga adalah adalah suatu amanah besar yang membawa tanggungjawab mengisinya dan mempertahankannya.

 

(Susunan semula dan adaptasi kuliah Dr Siddiq Fadil Tafsir Maudu’iy siri 65: JANJI ALLAH KEPADA KAUM MUKMININ: KEMENANGAN BERSYARAT)

 

KDH:26102013.

 

I   S   L   A   H         M   E   D   I   A        SIRI  USF           

Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia    

No akaun BANK ISLAM  12029010069484


Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah