DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah




Islah adalah salah satu tema besar surah Hud. Persoalan islah disebut berulang kali di pelbagai tempat. Begitu kritikalnya peranan al-muslihun (para pejuang islah) dalam menentukan survival bangsa. Mereka tidak hanya melaksanakan kewajipan terhadap Tuhan, tetapi juga menyelamatkan bangsa dari bencana kemurkaan-Nya.Untuk melaksanakan misi islah, golongan al-muslihun harus berhadapan dengan golongan al-mufsidun (kelompok pelaku fasad/kerosakan) yang selalu tampil berselindung di balik retorik dan slogan islah. Ayat 11 dan 12 surah al-Baqarah mendedahkan tipu daya kaum al-mufsidun mengabui mata rakyat massa. Mereka membungkus fasad dalam kemasan islah, menyebar mafsadah yang diberi label maslahah.
Pengajaran Bagi Aktivis Islah
قالَ يا قَومِ أَرَأَيتُم إِن كُنتُ عَلىٰ بَيِّنَةٍ مِن رَبّي وَرَزَقَني مِنهُ رِزقًا حَسَنًا ۚ وَما أُريدُ أَن أُخالِفَكُم إِلىٰ ما أَنهاكُم عَنهُ ۚ إِن أُريدُ إِلَّا الإِصلاحَ مَا استَطَعتُ ۚ وَما تَوفيقي إِلّا بِاللَّهِ ۚ عَلَيهِ تَوَكَّلتُ وَإِلَيهِ أُنيبُ
Nabi Syuaib berkata: "Wahai kaumku! Bagaimana fikiran kamu, jika aku berdasarkan bukti yang nyata dari Tuhanku, dan Ia pula mengurniakan daku pangkat Nabi sebagai pemberian daripadaNya, (patutkah aku berdiam diri dari melarang kamu) sedang aku tidak bertujuan hendak melakukan sesuatu yang aku melarang kamu daripada melakukannya? Aku hanya bertujuan hendak memperbaiki sedaya upayaku; dan tiadalah aku akan beroleh taufik untuk menjayakannya melainkan dengan pertolongan Allah. Kepada Allah jualah aku berserah diri dan kepadaNyalah aku kembali.
Ayat 88 surah Hud di atas harus selamanya menjadi landasan komitmen perjuangan islahi mentauhidkan Allah, mengislahkan manusia, mengimarahkan bumi. Krisis integriti yang melanda seluruh lapisan umat ketika ini harus ditangani menerusi gerakan islah keagamaan dan kemasyarakatan yang menyeluruh. Gejala fasad yang meratai segenap sektor masyarakat ketika ini tidak kurang seriusnya berbanding kerosakan masyarakat zaman Ibn Taymiyyah (abad 7-8H), suasana serba fasad yang mendorong Shaykh al-Islam tersebut menulis kitab:
السياسة الشرعية في اصلاح الراعى والرعية
Siyasah Syariah dalam Reformasi Pemimpin dan Rakyat
Judul kitab tersebut cukup jelas memberikan isyarat fasad yang melanda umat - penguasa dan rakyat. Yang memerintah dan yang diperintah sama rosaknya sehingga tidak ada pilihan selain mengislah kedua-duanya - al-ra`iy (pemerintah) dan al-ra`iyyah (rakyat). Kedua-duanya sama-sama melakukan kezaliman seperti yang diungkapkannya:
وكثيرا ما يقع الظلم من الولاة والرعية ،هؤلاء يا خذون ما لا يحل ،وهؤلاء يمنعون ما يجب ، ...
Dan banyaknya kezaliman itu datangnya dari pemimpin dan rakyat, pemimpin itu mengambil apa yang tidak halal dan rakyat pula mengelak daripada kewajipan….
Demikianlah sebahagian daripada kebobrokan yang menggejala dalam kehidupan umat, dahulu dan sekarang. Penguasa merompak harta rakyat, sementara rakyat mengelak dari kewajipan infaq.
Dalam realiti hari ini, para da`i yang juru islah tidak harus membatasi daerah gerakannya hanya dalam kalangan rakyat massa, tetapi harus menjangkau ke daerah elit politik dan elit ekonomi. Demikian juga isu yang harus ditangani tidak harus dibataskan pada masalah-masalah individu, tetapi menjangkau ke daerah politik, ekonomi dan sosial yang lebih luas, dengan tahap kompetensi keilmuan yang lebih tinggi. Justeru, gejala fasad yang melanda sudah sampai ke tahap yang cukup parah sehingga telah merosak trias-politika (pemisahan kuasa) yang menjadi teras tatanan kenegaraan kita. Kehidupan ekonomi rakyat telah semakin memprihatinkan akibat keruntuhan tatakelola yang baik, keruntuhan integriti, mewabaknya rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Gemblengan kekuatan dakwah dan islah sebenarnya dapat menjelmakan gerakan moral yang mampu menciptakan perubahan.
Untuk menjadikan dakwah dan islah sebagai kekuatan perubahan, perlu ada usaha yang jujur dan serius untuk meningkatkan kompetensi para da`i, di samping usaha korektif memperbaiki sikap dan perilaku para aktivis dakwah dan islah. Paparan kisah penampilan Nabi Shu`ayb `a.s. dalam surah Hud di atas seharusnya menyedarkan kita tentang bagaimana sebaiknya menyikapi umat, yang bagaimana sekalipun sikap mereka, hubungan persaudaraan harus tetap dipelihara. Kata “akhahum” (saudara mereka) pada ayat 84 perlu direnung dan dihayati. Demikian juga kata “ya qawmi” (wahai kaumku) yang diucapkan oleh Nabi Shu`ayb `a.s. ketika menyapa kaumnya yang jelas-jelas menolak seruannya, perlu diteladani dalam melayani umat sebangsa.Sesungguhnya dakwah dan islah adalah amanah suci Ilahi yang harus sentiasa dipelihara dari sebarang pencemaran. Ia bukan medan mencari populariti dan glamour peribadi, bukan pentas peragaan diri para selebriti, dan bukan juga gelanggang persaingan pengaruh antara mashayikh.

(Susunan semula dan adaptasi daripada TM75, Kuliah Tafsir Maudhuiyy Siri ke 75, Dr Siddiq Fadzil 2015)

I S L A H M E D I A SIRI USF
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

Dr Siddiq Fadil : Syarat Kemenangan