DR SIDDIQ FADZIL: Hikmah Tadabbur Ayat 63-73 Surah Ta Ha





قَالُوا إِنْ هَذَانِ لَسَاحِرَانِ يُرِيدَانِ أَن يُخْرِجَاكُم مِنْ أَرْضِكُم بِسِحْرِهِمَا وَيَذْهَبَا بِطَرِيقَتِكُمُ الْمُثْلَي
فَاَجْمِعُوا كَيْدَكُمْ ثُمَّ ائْتُوا صَفّاً وَقَدْ أَفْلَحَ الْيَوْمَ مَنِ اسْتَعْلَي
Para pesihir sepakat mempertahankan Fir`aun, sistem pemerintahannya dan seluruh budaya hidupnya, “Mereka (para pesihir) berkata ‘Sesungguhnya dua orang ini adalah pesihir yang hendak mengusirmu dari negerimu dengan sihir mereka berdua, dan hendak melenyapkan adat budayamu yang unggul.’ “ - ayat 63. Tuduhan konon Musa dan Harun `a.s. bercita-cita mengusir mereka dari negeri kediaman mereka memang sengaja dibesar-besarkan untuk membangkitkan kemarahan orang ramai. Demikian juga tuduhan bahawa mereka berdua akan menghapuskan segala adat budaya warisan mereka. Semua bangsa berbangga dengan adat budaya mereka. Rasa bangga itulah yang dieksploitasi agar mereka melawan Musa dan Harun `a.s.
Tukang-tukang sihir itu telah siap dengan segala tipu daya sihir masing-masing dan tampil dengan gaya yang memperlihatkan kehebatan, “Maka kumpulkanlah segala tipu daya (sihir) kamu, kemudian datanglah dengan berbaris, dan sungguh beruntung orang yang menang pada hari ini.” - ayat 64. Ayat ini adalah kata-kata tukang-tukang sihir sesama mereka agar masing-masing menggunakan segala kemampuan (sihir) yang mereka miliki. Tampil ke gelanggang dalam perbarisan adalah untuk memberikan kesan kehebatan yang boleh menggentarkan lawan agar terganggu konsentrasinya.
قَالُوا يَامُوسَي إِمَّآ أَن تُلْقِيَ وإِمَّآ أَن نَّكُونَ أَوَّلَ مَنْ أَلْقَي
قَالَ بَلْ أَلْقُوا فَإِذَا حِبَالُهُمْ وَعِصِيُّهُمْ يُخَيَّلُ إِلَيْهِ مِن سِحْرِهِمْ أَنَّها تَسْعَي
فَاَوْجَسَ فِي نَفْسِهِ خِيفَةً مُّوسَي
Pertandingan bermula dengan pihak tukang-tukang sihir menawarkan pilihan kepada Musa, siapa yang hendak memulakannya, “ Mereka berkata, ‘Wahai Musa! Apakah engkau yang melemparkan (dahulu) atau kami yang lebih dahulu melemparkan?’ “ - ayat 65. Kata-kata tersebut terasa lunak dan beradab. Mungkin memang begitu bahasa yang standard dalam pertandingan sihir zaman itu. Tafsiran lain menyebut bahawa ungkapannya memang lunak dan beradab, tetapi isinya adalah suatu cabaran yang angkuh.
“Dia (Musa) berkata, ‘Silakan kamu melemparkan! Maka tiba-tiba tali-tali dan tongkat-tongkat terbayang olehnya (Musa) seakan-akan ia merayap cepat, kerana sihir mereka.’ “ - ayat 66. Tampaknya semua berlaku dengan cepat, mendadak dan mengejutkan. Semua tali dan tongkat tukang-tukang sihir itu tiba-tiba menjadi ular-ular yang liar dan buas. Segala yang tampak di sana memang dahsyat dan menyeramkan kerana ia adalah puncak kehebatan segala sihir yang ada di Mesir ketika itu. Memang luar biasa, sehingga menimbulkan sedikit rasa takut di hati Musa `a.s., “Maka Musa merasa takut dalam hatinya.” - ayat 67. Rasa takut dalam hati bererti rasa yang tidak kelihatan pada zahirnya. Yang ditakuti ialah andainya Tuhan memberikan kemenangan kepada mereka sebagai istidraj walaupun seketika, yang akhirnya mereka tetap akan kalah. Rasa takut yang dialami oleh Musa `a.s. ketika itu samalah seperti yang dirasakan oleh Nabi Muhammad s.`a.w. ketika menghadapi perang Badar sehingga Junjungan s.`a.w. bermunajat, “Andainya kaum Muslimin kalah, maka tidak ada lagi orang yang akan menyembah-Mu ya Allah.”. Tafsiran lain menyebut bahawa rasa takut dalam suasana sedemikian adalah suatu yang manusiawi.
قُلْنَا لاَ تَخَفْ إِنَّكَ أَنتَ الأَعْلَي
وَأَلْقِ مَا فِي يَمِينِكَ تَلْقَفْ مَا صَنَعُوا إِنَّمَا صَنَعُوا كَيْدُ سَاحِرٍ وَلاَ يُفْلِحُ السَّاحِرُ حَيْثُ أَتَي
فَأُلْقِيَ السَّحَرَةُ سُجَّداً قَالُوا ءَامَنَّا بِرَبّ‌ِ هَارُونَ وَمُوسَي
Keadaan yang memang menakutkan, ditambah dengan gemuruh sorakan penyokong-penyokong Fir`aun yang menyangka mereka akan menang, menyebabkan Musa `a.s. lupa sesaat bahawa Allah bersamanya - mendengar dan menyaksikan. Kerana itu Tuhan segera mengingatkannya, “Kami berfirman, ‘Jangan takut! Sungguh engkaulah yang unggul (menang)’“ - ayat 68.
“ Dan lemparkan apa yang ada di tangan kananmu, nescaya ia akan menelan apa yang mereka buat. Apa yang mereka buat itu hanyalah tipu daya pesihir (belaka). Dan tidak akan menang pesihir itu, dari mana pun ia datang. “ - ayat 69. Tidak terbayang perubahan suasana yang berlaku di gelanggang pertandingan apabila tongkat mukjizat Musa `a.s. menelan dan melahap ular-ular tukang sihir itu satu demi satu. Ketika semua orang terpegun menyaksikan apa yang berlaku, tiba-tiba mereka dikejutkan oleh tindakan dramatik tukang-tukang sihir yang sujud sambil menyatakan iman mereka kepada Allah, “ Lalu para pesihir itu merunduk bersujud, seraya berkata, ‘Kami telah beriman kepada Tuhan Harun dan Musa.’” - ayat 70. Mereka menyedari hakikat yang mereka lawan bukan sihir, tetapi kuasa Tuhan. Sebagai orang-orang yang benar-benar ahli dalam ilmu sihir, mereka tahu batas jangkauan sihir. Yang mereka lawan tadi memang jelas di luar jangkauan sihir. Kerana itu mereka beriman dengan Tuhan Musa dan Harun. Mereka menyebut Allah dengan cara demikian kerana konsep Allah belum difahami secara meluas ketika itu. Mungkin sekali keputusan untuk beriman itu ada kaitannya dengan peringatan Musa `a,s. Ketika pertandingan hendak dimulakan tadi. Yang jelas ia adalah kuasa Allah yang boleh memberikan sentuhan iman kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Tuhan adalah muqallib al-qulub, Maha Kuasa membolak-balikkan hati manusia. Tetapi hakikat inilah yang tidak difahami oleh Fir`aun.
قَالَ آمَنتُمْ لَهُ قَبْلَ أَنْ آذَنَ لَكُمْ ۖ إِنَّهُ لَكَبِيرُكُمُ الَّذِي عَلَّمَكُمُ السِّحْرَ ۖ فَلَأُقَطِّعَنَّ أَيْدِيَكُمْ وَأَرْجُلَكُم مِّنْ خِلَافٍ وَلَأُصَلِّبَنَّكُمْ فِي جُذُوعِ النَّخْلِ وَلَتَعْلَمُنَّ أَيُّنَا أَشَدُّ عَذَابًا وَأَبْقَىٰ
Dengan itu bermulalah dialog Fir`aun dengan tukang-tukang sihir. “ Dia (Fir`aun) berkata, ‘Apakah kamu telah beriman kepadanya (Musa) sebelum aku memberi izin kepadamu? Sesungguhnya dia itu pemimpinmu yang mengajarkan sihir kepadamu. Maka sungguh, akan aku potong tangan dan kakimu secara bersilang, dan sungguh akan aku salib kamu pada pangkal pohon kurma dan sungguh, kamu pasti akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal siksaannya.’ “ - ayat 71. Keputusan pertandingan dengan Musa sudah muktamad. Musa menang, Fir`aun kalah. Fir`aun marah sekali, tetapi kemarahannya disasarkan kepada tukang-tukang sihir atas alasan beriman sebelum mendapat keizinannya. Seolah-olah ia akan mengizinkan jika mereka memohonnya lebih dahulu. Fir`aun tetap tidak menerima hakikat bahawa yang dimiliki oleh Musa adalah mukjizat, bukan sihir, lalu menuduh Musa sebagai guru besar sihir dan tukang-tukang sihirnya adalah murid-muridnya. Apa yang berlaku dalam pertandingan hari itu, menurutnya adalah persekongkolan guru dengan murid-muridnya. Kemarahan yang sudah tidak terkawal lagi menyebabkan Fir`aun mengancam akan menyiksa tukang-tukang sihirnya dengan cara yang sangat mengerikan. Fir`aun tidak menyangka bahawa tukang-tukang sihirnya berani menjawab kata-katanya. Perubahan mendadak, keberanian yang tiba-tiba, itulah jelmaan the power of iman yang tidak difahami oleh Fir`aun.
قَالُوا لَن نُؤْثِرَكَ عَلَي مَا جَآءَنَا مِنَ الْبَيّـِنَاتِ وَالَّذِي فَطَرَنَا فَاقْضِ مَآ أَنتَ قَاضٍ إِنَّمَا تَقْضِي هَذِهِ الْحَيَاةَ الدُّنْيَآ
إِنَّآ ءَامَنَّا بِرَبّـِنَا لِيَغْفِرَ لَنَا خَطَايَانَا وَمَآ أَكْرَهْتَنَا عَلَيْهِ مِنَ السّـِحْرِ وَاللَّهُ خَيْرٌ وَأَبْقَي
“ Mereka (para pesihir) berkata, ‘ Kami tidak akan memilih (tunduk) kepadamu atas bukti-bukti nyata (mukjizat), yang telah datang kepada kami dan atas (Allah) yang menciptakan kami. Maka putuskanlah yang hendak engkau putuskan. Sesungguhnya engkau hanya dapat memutuskan pada kehidupan di dunia ini.’ “ - ayat 72. Iman yang telah menyerap ke dasar hati akan menciptakan transformasi diri menjadi kuat, tabah dan berani. Hikmat al-iman itulah hakikat di sebalik keberanian tukang-tukang sihir menolak Fir`aun dan meremehkan ancamannya. Mereka tidak merayu agar dilepaskan dari hukuman, tidak juga meminta keringanan, sebaliknya menyerahkan kepada Fir`aun apa yang ingin ia lakukan. Mereka tahu batas kuasa Fir`aun yang hanya selama hidup duniawi, dan berapa lamalah yang namanya al-hayat al-dunya itu.
“ Kami benar-benar telah beriman kepada Tuhan kami, agar Dia mengampuni kesalahan-kesalahan kami dan sihir yang telah engkau paksakan kepada kami. Dan Allah lebih baik (pahala-Nya) dan lebih kekal (azab-Nya).’ “ - ayat 73. Demikianlah yang namanya orang beriman, mereka menginsafi dosa-dosa yang telah dilakukan. Menggunakan sihir untuk menafikan mukjizat dari Allah adalah dosa, walaupun dipaksa (oleh Fir`aun). Ungkapan “Dan Allah lebih baik (pahala-Nya) dan lebih kekal (azab-Nya) “ adalah jawapan yang tepat kepada kata-kata Fir`aun, “ ...kamu pasti akan mengetahui siapa di antara kita yang lebih pedih dan lebih kekal siksaannya.”

Hikmah
Hikmah dalam pelbagai pengertiannya terserlah dalam dialog-dialog yang terakam dalam ayat-ayat al Qur’an di atas. Hikmah dalam erti kebijaksanaan dapat ditemukan pada Nabi Musa `a.s., juga pada tukang-tukang sihir setelah beriman. Hikmah dalam pengertian rahsia di sebalik sesuatu seperti iman (hikmat al-iman) juga terdapat pada tukang-tukang sihir tersebut. Selain itu hikmah dalam erti hakikat yang tersirat di balik yang tersurat juga terdapat pada ayat-ayat tersebut. Mungkin banyak lagi hikmah yang boleh ditangkap dengan tadabbur yang lebih mendalam.

(Dipetik dan adaptasi daripada Syarah Tafsir Maudu’iy DR SIDDIQ FADZIL: HIKMAH DALAM DIALOG QUR’ANI)

I S L A H M E D I A SIRI USF
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN