Dr Siddiq Fadzil: MENELADANI MURABBI AGONG



Murabbi terunggul dan teragong ialah Rasulullah ﷺ. Al rasul al murabbi ﷺ wajib diberi sorotan dengan penuh perhatian. Bagaimana baginda berjaya mencipta satu generasi al sahabah r.a.a. Perlu diteliti ciri-ciri, teknik-teknik dan pendekatan kemurabbian Rasulullah ﷺ. Dimensi al rasul al murabbi ﷺ perlu dilihat dan dijadikan sumber renungan kita.
Kejayaannya sebagai murabbi ada suatu yang luar biasa dan dianggap para ulama’ sebagai mukjizat – al ‘ijaz al tarbawiy. Para ulama’menganggap andainya Rasulullah ﷺ tidak dikurniakan mukjizat lain maka keunggulan para sahabah yang dididiknya itu sudah cukup bagi bukti kenabiannya. Baginda ﷺ bukan sekadar berjaya mendidik al sahabah, malah mendidik para murabbi dan orang yang tidak pernah melihatnya pun, “mukjizat kependidikan” sepanjang zaman hingga ke hari ini. Para sahabah bukan cuma murid-murid, bukan hanya pengikut, bahkan dididik Rasulullah ﷺ. sebagai murabbi-murabbi sepanjang zaman. Malah kita hari ini pun mempelajari daripada fatawa para sahabah dan inspirasi keunggulan peribadi mereka.
Contohnya, riwayat kisah Umar al Khattab akan membuatkan kita terinspirasi. Dia selaku murabbi tidak perlu hadir bersama di kalangan kita – walaupun dengan jarak ruang dan masa – space and time distant – namun kita masih terinspirasi dengan peribadi dan kisah Umar al Khattab r.a. Membaca riwayat para sahabah Rasulullah ﷺmemberikan kita suntikan semangat yang bermakna.
Sebagaimana generasi silam memberikan perhatian, marilah kita membina tradisi baru walaupun naqib bukanlah ‘shaykh’ tetapi naqib yang murabbi atau murabbi yang naqib. Tugas dan cabarannya berat untuk membina dan mempertingkat naqib dalam usaha pendidikan semula. Peranannya bukanlah semata-mata memberi ilmu tetapi memimpin dan mempunyai tanggungjawab tarbawiy, mendidik.
Apa yang diperolehi daripada guru bukan sekadar ilmu sahaja tetapi watak peribadi yang menyeluruh. Tarbiyyah melalui keteladanan guru itulah yang telah berlaku dalam sejarah Islam. Guru membawa erti ilmu dan teladan.
Walaupun berat, kita tidak mempunyai pilihan lain, dengan azam sekuat dan seseriousnya. Kalau cuma sekadar ilmu pengetahuan yang kita harapkan, barangkali burung gagak pun boleh menjadi guru – sepertimana kisah Qabil belajar daripada aksi gagak bagaimana menguruskan mayat Habil. Dengan ertikata lain, kalau hanya ilmu boleh belajar daripada sesiapa sahaja. Tetapi konsep tarbiyyah bukan hanya ilmu bahkan keteladanan dan proses pembentukan keinsanan to be a better human being.
Pendidikan itu adalah pengutuhan dan penyempurnaan insan. Tugas seorang murabbi bukan terbatas kepada penyampai ilmu tetapi membaiki diri insan – islah al nafs. Imam Hasan al Banna menyenaraikan 10 ciri-ciri murabbi:-
Qawiyy al jism – kesihatan tubuh badan
Matin al khuluq – kewibawaan moral, berakhlak tinggi
Muthaqqaf al fikr – keterbukaan minda, membudayakan ilmu
Qadir ‘ala al kasb – kemampuan menyara hidup, keusahawanan – enterprising spirit
Salim al aqidah – kejituan aqidah, kemurnian iman
Sahih al ‘ibadah – ketepatan beribadah, ibadat yang betul
Mujahid li nafsih – keupayaan mengawal nafsu, bermujahadah
Harithan ‘ala waqtih – peka terhadap masa, sensitif kepada waktu, tidak meleret tanpa kesedaran
Munazzam bi shuúnih – tertib segala urusan, pengurusan tidak berselerak
Nafi ‘an li ghayrih – berbakti, bermanfaat kepada orang lain, berkhidmat kepada masyarakat

(Dr Siddiq Fadzil, Peranan Murabbi dalam Konteks Dakwah, Blog Wadah Utara, 2014)

I S L A H M E D I A SIRI USF 4
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN