IBRAH NUZUL AL QURAN DAN AGENDA MEMARTABATKAN BAHASA ARAB



Oleh Ustaz Mohammad Fadzil Alias
Mudir Madrasah Uthmaniah ABIM, Pulau Pinang.
Muqaddimah.
Bulan Ramadhan bukan sahaja dikaitkan dengan pensyariatan ibadah berpuasa tetapi juga mengingatkan kita akan peristiwa yang amat penting dalam kehidupan manusia terutama kepada junjungan Nabi Besar Muhammad SAW iaitu penurunan Al Quran ( Nuzul Al-Quran ).
Allah SWT berfirman:
“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran menjadi petunjuk bagi sekelian manusia…” (QS.Al-Baqarah: 185 )
Namun apa yang ingin kita bicarakan di sini ialah bahasa yang digunakan oleh Allah SWT tatkala menurunkan wahyu yang maha suci ini. Allah SWT dengan jelas menyebutkan bahawa bahasa Arab adalah bahasa pengantar Al-Quran. Firman Allah SWT:
“Sesungguhnya Kami menurunkannya berupa Al- Quran dengan berbahasa Arab, agar kamu memahaminya.” (QS. Yusuf: 2)
“Dengan bahasa Arab yang jelas.” (QS. Asy-Syu’ara: 195).
“Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahwa) Muhammad belajar kepadanya bahasa ‘Ajam, sedang Al-Quran adalah dalam bahasa Arab yang terang.” (QS. An-Nahl: 103)
Keutamaan (Awlawiyat ) Mempelajari Bahasa Arab
Sebagai seorang muslim yang dilahirkan bukan dari kalangan ibu bapa yang bertutur dalam bahasa Arab, sudah pasti menghadapi kesukaran memahami lafaz-lafaz Al-Quran dan lafaz-lafaz bahasa Arab dalam peribadatan khusus kepada Allah SWT. Lantaran itu Baginda ﷺ pernah bersabda yang bermaksud:
“I’rablah Al-Qur`an dan carilah kosa-kata asingnya.”
“Pelajarilah bahasa Arab yang kalian gunakan untuk mengi’rab Al-Qur`an.
Nota: I'rab al-Qur'an adalah ilmu Al-Qur'an yang membahas kedudukan setiap kata dalam susunan kalimat (ta'bir), untuk mengetahui arti dan makna suatu ayat.
Imam Al Syafie RA ( W204H) menyebutkan:
Wajib bagi setiap Muslim belajar bahasa Arab sesuai dengan kesanggupannya agar benar dalam bersyahadat lâilaha illallâh dan muhammadun abduh wa rasûluh, membaca Kitabullah, melafazkan dzikir yang diwajibkan atasnya seperti takbir, tasbih, tasyahhud, dan lain-lain. Jika dia berkenan mendalami bahasa yang dijadikan Allah sebagai bahasa penutup para Nabi-Nya dan bahasa kitab terakhir yang diturunkan-Nya ini, maka itu lebih baik baginya.”
Manakala Hujjahtul Islam Ibnu Taimiyah RA (W728H) menyebutkan:
Juga, bahasa Arab sendiri termasuk bahagian dari din (Islam). Memahaminya adalah perkara fardhu yang wajib. Karena memahami Al-Qur’an dan Sunnah adalah wajib. Bagaimana mungkin memahaminya kecuali dengan memahami bahasa Arab. Perkara wajib yang tidak boleh tegak sempurna kecuali dengannya maka ia menjadi wajib.”
Agenda Memartabatkan Bahasa Arab
Kesedaran hidup beragama dan kembali kepada penghayatan Islam yang sebenar telah memperlihatkan usaha-usaha mempelajari bahasa Arab sebagai satu keutamaan. Malahan pengasas gerakan dakwah Ikhwan Muslimim, Al Syahid Hassan Al Banna menyeru pengikut-pengikutnya untuk kembali mempraktikkan bahasa Arab Fushah (asli) dalam pertuturan harian. Rakan karibnya Al Syahid Syed Qutb pula apabila diminta untuk menulis suatu catatan semasa dalam tahanan penjara dan apa yang diimpikan kepada generasi muda Mesir dan Islam ammnya, beliau telah menulis sebuah buku yang bertajuk Petunjuk Sepanjang Jalan di mana menjelaskan impiannya untuk melihat satu generasi yang disebutnya sebagai Generasi Al-Quran Yang Unik ( Jail Al-Quran Al Fared ). Sudah pastinya generasi itu akan menguasai bahasa Arab seperti mana para sahabat bersama Nabi Muhammad ﷺ. Di negara kita, kesedaran hidup beragama yang dicetuskan oleh golongan anak muda sekitar tahun 70an yang celik dengan perbahasan-perbahasan Islam Sebagai Peraturan Hidup ( Nizam al hayah) telah mula menggunakan kalimat-kalimat Arab dalam pertuturan harian seperti Ana, Anta, Usrah, Syura, Thagut dan sebagainya.
Dari situ bangkitlah kesedaran untuk menuntut agar umat Islam kembali dengan didikan Islam yang sebenar seperti hasil Resolusi Pendidikan Islam Makkah Al Mukarramah pada tahun 1977. Bermula dari Taman Asuhan Kanak-kanak Islam (TASKI) yang diasaskan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada tahun 1979 di Kedah, asas bahasa Arab telah dijadikan sebahagian dari aktiviti pembelajaran di samping bahasa Inggeris. Begitulah perkembangannya menerusi insititusi pendidikan Islam yang ditubuhkan oleh pertubuhan-pertubuhan Islam lainnya. Kementerian Pendidikan Malaysia juga tidak ketinggalan dalam usaha memperluaskan peluang belajar bahasa Arab ini di sekolah-sekolah rendah seperti program J-QAF 2004 ( Jawi, Quran, Arab dan Fardhu Ain) dan yang terbaharu Kurikulum Baharu Diniah(KBD) 2015 yang lebih luas penggunaan bahasa Arab dalam matapelajaran pendidikan Islam. Kelas-kelas bahasa Arab untuk golongan dewasa secara umum juga mendapat tempat dalam masyarakat. Hal ini tidak terkecuali kepada golongan warga emas yang tidak berpeluang mempelajarinya sewaktu di alam persekolahan. Namun dari segi pencapaian, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan masyarakat Islam di negara kita masih terlalu rendah walaupun institusi pendidikan Islam di pelbagai peringkat berkembang dengan suburnya.
Sempena Ramadhan dan Nuzul Al-Quran pada tahun ini marilah kita sama-sama bermuhasabah diri dan menginsafi kekurangan yang ada dengan berazam untuk mencintai bahasa Arab. Kita mencontohi ketokohan Maulana Abul Hassan Ali An Nadwi dalam jihadnya memartabatkan bahasa Arab, sanggup mengarang buku-buku Bahasa dan Kesusasteraan Arab dari peringkat rendah hingga ke peringkat tinggi selain puluhan karya besar beliau dalam perbagai bidang . Bukunya Qasasul Anbiya Lil Atfal akan mendekatkan diri kita kepada bahasa Al Quran dan Qiraah Rasyidah untuk kegunaan bahasa Arab harian mempunyai nilai yang amat tinggi dan sungguh mengasyikan. Ayuh kita membacanya! Iqra’.
12 Ramadhan 1441/5 Mei 2020.

(Ustaz Mohammad Fadzil Alias adalah Penolong setiausaha Wadah Pencerdasan Umat Malaysia Pulau Pinang WADAH)

I S L A H M E D I A RAMADAN SIRI 8
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: IBRAH ISLAH DAN TRANSFORMASI BERMAKNA

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 1