Pengantar Fiqh Amanah : Rijalul Mabda’ – Manusia Berprinsip



Amanah merupakan barang paling berharga yang teramat tinggi nilainya dianugerahkan serta dibebankan ke atas manusia. Dengan tawaran amanah ini, maka manusia dapat melaksanakan tugasnya selaku Khalifah di bumi Tuhan ini. Maka kenapa ia sungguh penting dan tersangat berat sehingga langit-langit dan bumi serta gunung ganang tidak mahu, tidak sanggup bahkan gerun untuk menerimanya? Jawabnya dengan meneliti firman Allah swt di dalam Surah Al-Ahzab ayat 72:-
إِنَّا عَرَضْنَا الْأَمَانَةَ عَلَى السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالْجِبَالِ فَأَبَيْنَ أَنْ يَحْمِلْنَهَا وَأَشْفَقْنَ مِنْهَا وَحَمَلَهَا الْإِنْسَانُ ۖ إِنَّهُ كَانَ ظَلُومًا جَهُولًا
Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanat kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanat itu dan mereka khawatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.
Apakah amanat ini? Buya Hamka membawakan tafsir Syaikh Muhd Jamaluddin Al-Qasimi, “Memperkeraskan disiplin bagi orang yang beriman supaya hidup tetap dalam linkungan kejujuran walaupun pahit. Sejak dari ayat pertama dalam surah ini telah diperingatkan kepada Nabi ﷺ agar baginda jangan mengikuti kehendak orang kafir dan munafiq serta hendaklah teguh memegang dan menurut garis yang ditentukan Allah swt dalam wahyuNya. Peringatan supaya keras mempertahankan garis perjuangan yang ditempuh itu diulang dua kali iaitu di ayat 1 dan 47.”
Bahkan pesan Buya Hamka lagi kepada ummat agar jangan bimbang dalam bertegas untuk mengikuti Nabi ﷺ, bagindalah contoh teladan hidup (ayat 21) dan pada ayat 6 dijelaskan bahawa Nabi ﷺ bagi orang beriman lebih penting dari dirinya sendiri. Dengan ketegasan hidup yang demikian dapatlah jiwa orang yang beriman memegang teguh amanah. Tidaklah mereka menjadi orang yang goyang pendirian, berjiwa kerdil, menjadi munafiq atau menjadi musyrik. Betapa besar pun kehebatan musuh yang hendak menyerbu, walaupun musuh bersekongkol bersama sekutu-sekutu untuk menghancurkan Islam, rencana musuh itu akan gugur dan gagal disebabkan jiwa Islam yang menyambutnya kuat dan kental.
Hubungan manusia sesama manusia pun terjamin kesejahteraannya kerana wujudnya amanah. Amanah dalam politik pemerintahan oleh pemerintah yang adil adalah keselamatan serta kesejahteraan bagi seluruh negara. Amanah dalam ekonomi melancarkan, mencukupkan dan mengamankan hubungan seluruh dunia.
Tepatlah kupasan Syed Qutb menafsirkan ayat yang sama, “Manusia yang mengenali Allah dengan pancainderanya serta perasaaannya dan mendapat petunjuk kepada asal fitrahnya dengan tadabbur dan pengamatan yang tajam, serta beramal bertepatan dengan fitrahnya dengan penuh usaha dan cubaan, mentaati Allah dengan kemahuannya sendiri serta melawan arus kesesatan dan syahwat yang cuba mengkorupsikannya, maka orang sebeginilah pada setiap langkahnya adalah insan yang didambakan yang berjaya memikul amanah ini.”
Amanah dan Rijalul Mabda’ (Insan-Insan yang Berprinsip)
Lalu apakah hubungkait di antara amanah dan Rijalul Mabda? Oleh kerana amanah suatu yang besar dan berat tanggungannya, maka secara logiknya insan yang berjaya menggalasnya adalah Rijalul Mabda’ - berprinsip serta bertanggungjawab penuh akauntabiliti. Barangkali persoalan ini akan lebih terungkai apabila kita meneliti tulisan Abul Hasan Ali- Annadwi bahawa apabila Allah swt telah mentaqdirkan bahawa Islam adalah agama yang terpilih dan benar serta universal, maka semestinya secara tabiatnya Islam dan ummatnya akan menghadapi cabaran dari dalam dan luar, dan pada bila-bila masa sahaja. Bahkan sejak dari zaman Nabi Adam a.s. hingga kini, ummat Islam serta aqidahnya seringkali menjadi medan pergelutan dan diserang serta dihenyak dari pelbagai sudut. Serangan ini semestinya akan menggugat jiwa, aqidah serta ketenteraman hidup.
Tepatlah ungkapan Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi:-
فالأمة التي تتغلب على هذه المشاكل كلها وتخرج من هذه المعارك ظافرة منتصرة, هي أمة جديرة بالحياة, صالحة للقيادة ولا يمكن لقوة سياسية أو غارة خارجية على كيانها وتمحوها من الوجود
Maka ummat yang berjaya menewaskan kesemua cabaran ini, sekaligus menjadikannya ummat yang agung serta layak untuk hidup, layak untuk memimpin, dan tidak mungkin bagi mana-mana kekuatan politik, atau serangan luaran mampu menggugat struktur ummah ini dan tidak mungkin melenyapkannya dari kewujudan.
Apakah Rahsia Ummat Islam berjaya menghadapi keributan yang mengancamnya?
Maulana Abul Hasan Ali An-Nadwi berkata ummat ini berjaya kerana memiliki dua kekuatan:-
1) Semangat yang tersimpan kukuh pada zat Islam itu sendiri serta kejituannya untuk terus memenuhi tuntutan kehidupan pada setiap zaman dan ketika. Risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad ﷺ itu tiada kekurangan dan akan terus kekal relevan hingga hari akhirat.
Namun masakan ini sahaja memungkinkan Islam terus gemilang dan menangani cabaran depan mata serta menangkis serangan. Kita seharusnya sedar bahawa bicara pelbagai teori dan kaedah Fiqh dan prinsip Islam seperti Fiqh Maqasid, Fiqh Mizan, Fiqh Maalatul Af’al, Fiqh Taayush, Fiqh Taghyirul Munkardan lain-lain teori fiqh hanyalah menumpukan kepada zat Islam itu sendiri yang sememangnya tiada kelemahan. Kesemua teori fiqh ini dan apa-apa konsep Islam tidak mungkin terhasil tanpa adanya kekuatan yang kedua iaitu insan-insannya:-
2)
أن الله قد تكقل بأن يمنح هذه الأمة التي قضى ببقائها وخلودها رجالا أحياء أقوياء في كل عصر ينقلون هذه التعاليم الإسلامية الى الحياة ويعيدون إلى هذه الأمة الشباب والنشاطز
Sesungguhnya Allah swt sendiri memberi janji untuk menganugerahkan ummat ini - ummat ini dijanjikan Allah untuk terus kekal meskipun berhadapan cabaran mendatang iaitu para Pejuang/Penggerak yang penuh penghayatannya kepada Islam serta gagah perkasa pada setiap masa, dan mereka inilah yang menyebarkan ajaran Islam kepada kehidupan dan mengembalikan ummah ke zaman kegemilangan.
Tiada mungkin bagi Ummah untuk hidup, dan Syariah tidak mungkin akan terus kekal tanpa Rijalnya dan Mar’ahnya (lelaki dan wanitanya) yang cukup jujur lagi amanah serta tinggi semangat juangnya demi memartabatkan Syariah dan meletakkan Islam di tempat yang tertinggi. Mustahil syariah ini akan hidup jika dibawa oleh Rijalnya yang culas, mensia-siakan amanah yang dibebankan keatasnya. Tiada bermakna kepada Maqasid Shariah, jika penggeraknya sekadar opportunis, dan korup serta hanya memandang kepada keuntungan diri dan kelompoknya. Tidak mungkin bagi Shariah ditegakkan apabila dipilih orang haloba lagi tamak berkuasa.
Umat ini berjaya kerana risalah Islam itu sendiri dan insan-insan berprinsip yang menggalas amanah dan memperjuangkannya.

Omar Mokhtar bin Hamdan Al Rupawani, Timbalan Yang di Pertua ABIM Pulau Pinang

Rujukan:-
1. Tafsir Al Azhar, Buya Hamka
2. Tafsir Fi Zhilalil Quran, Sayyid Qutb
3. Rijalul Fikri Wad Dakwah fil Islam oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadwi

I S L A H M E D I A SIRI RIJAL
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN