PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN



PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN

 

Perang Badar, yang berlaku pada 17 Ramadan, tahun 2 Hijrah, merupakan peristiwa sejarah yang amat penting untuk ditelaah. Untuk pertama kali kaum muslimin, setelah hijrah dari Makkah ke Madinah, bertembung dalam satu peperangan terbuka dengan kaum musyrikin Makkah yang sekian lama memusuhi mereka. Keputusan dari peperangan ini memberi erti yang besar terhadap keyakinan kaum muslimin terhadap kebenaran agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad serta menjadi bukti benarnya janji-janji Allah (swt) – bahawa mereka yang berjuang di jalan-Nya akan ditolong. Perang ini menjadi lebih bermakna kerana keputusannya nanti akan memberi kesan kepada kelangsungan agama ini.

Rasulullah menyedari betapa pentingnya memenangi perang ini demi masa depan agama. Dengan rintihan yang luar biasa Baginda merayu bagi mendapatkan pertolongan Allah. Bagi Baginda kekalahan bukanlah pilihan. Kekalahan mungkin memberi erti berakhirnya orang yang akan menyembah Allah (swt) di bumi ini . Baginda berdoa:

Ya Allah, aku memohon kepada-Mu, penuhilah janji-Mu kepadaku. Ya Allah, (berikanlah) bantuan yang telah Engkau janjikan. Ya Allah, jika Engkau biarkan pasukan Islam ini binasa, maka Engkau tidak akan (lagi) disembah di muka bumi ini - HR. Muslim dan Ahmad.

Peperangan pertama ini menjadi saksi pertembungan antara mereka yang tulus berjuang menegakkan kebenaran agama Allah (swt) dengan mereka yang sombong, menolak kebenaran dan memilih untuk mempertahan kepentingan-kepentingan dunia. Dari satu perspektif peperangan ini adalah pertentangan antara al-haq dan batil. Maka natijah dari peperangan, dari satu perspektif, akan turut mendefinisi makna kebenaran dan kebatilan.

Ketidakseimbangan kekuatan antara kaum muslimin yang bersama Rasulullah dengan tentera Quraisy Makkah adalah amat menjolok. Seramai hanya 313 orang yang mewakili umat Islam dari Madinah berhadapan dengan 1000 orang pasukan dari Makkah. Bukan sahaja bilangan mereka yang ikutserta bersama Rasullah kecil, mereka juga tidak mempunyai kenderaan dan senjata yang mencukupi. Diriwayatkan kaum muslimin memiliki 2 atau 3 ekor kuda dan 70 ekor unta, berbanding dengan tentera musyrikin Makkah yang bergerak bersama 100 ekor kuda dan 700 ekor unta serta 600 dari anggota peranga berbaju perisai. Logika biasanya pastilah pasukan yang datang dari Makkah ini akan memperolehi kemenangan mudah! Itulah yang ada dalam fikiran Amru bin Hisyam (Abu Lahab) yang mengetuai pasukan Quraisy Makkah. Tetapi ternyata keputusan yang terjadi ternyata tidak seperti yang mereka sangkakan. Mereka tewas dengan kerugian besar: 70 orang terbunuh dan 70 lagi ditawan. Sedangkan pasukan dari Madinah mencapai kemenangan gemilang. Mereka berjaya menumpaskan hampir semua pemimpin musyrikin yang datang berperang termasuk Abu Jahal dan berjaya pula merampas sejumlah harta rampasan. Kaum muslimin menghadapi kerugian minimum dengan hanya 14 orang yang syahid dalam pertempuran tersebut.

Sesuatu yang unik bagi peperangan ini ialah adanya ‘campur tangan ilahi’ (divine intervention) iaitu pertolongan Allah (swt) yang dinyata secara jelas oleh Allah (swt) sendiri. Seperti yang dinyatakan dalam ayat-ayat berikut:

وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنْتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ

Dan sungguh Allah telah menolong kamu semasa (Perang) Badar sedang kamu dalam keadaan lemah. Maka bertaqwalah kepada Allah, agar kamu mensyukuri-Nya – Aali Imran 3:123.

إِذ تَستَغيثونَ رَبَّكُم فَاستَجابَ لَكُم أَنّي مُمِدُّكُم بِأَلفٍ مِنَ المَلائِكَةِ مُردِفينَ

Sungguh, Aku mendatangkan bala bantuan dengan seribu malaikat yang (datang) berturut-turut – Al-Anfal:9.

Perspektif kajian sejarah Barat hanya menganalisis peristiwa-peristiwa terjadi di tengah masyarakat manusia berasaskan apa yang dapat ditanggap secara zahir. ‘Campur tangan ilahi’ atau elemen alam metafizik tidak diiktiraf dalam kajian-kajian sejarah. Namun dalam konteks agama Islam, seperti yang dinyatakan melalui ayat-ayat al-Quran, pertolongan Allah (swt) melalui pengutusan bantuan terdiri dari para malaikat, adalah sesuatu yang benar-benar terjadi, sekalipun mata kasar manusia tidak dapat menyaksinya.

Banyak ibrah yang dapat disaring dari peristiwa Perang Badar terutama bagi mereka yang berjuang bagi menegakkan kehidupan Islami di tengah-tengah masyarakat. Sememangnya kemenangan yang diperolehi kaum muslimin dalam perang ini adalah hasil pertolongan Allah (swt). Namun pertolongan tersebut diberi oleh Allah (swt) kerana mereka siap memiliki ciri dan sifat yang melayakkan mereka menerima pertolongan-Nya. Di samping kepimpinan dan wibawa Baginda serta strategi yang diatur Baginda , kualiti para anggota pasukan juga menjadi sebab Allah (swt) menghulurkan pertolongan-Nya. Mereka adalah orang-orang yang benar-benar yakin akan kebenaran Risalah yang dibawa Baginda . Dengan keyakinan ini mereka sedia pula berkorban jiwa raga demi memperolehi Redha Allah (swt). Sekian.

 

(Cikgu Abd Halim Ismail adalah Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH)

 

I   S   L   A   H         M   E   D   I   A        SIRI  C HALIM           

Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia    

No akaun BANK ISLAM  12029010069484


Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

Dr Siddiq Fadil : Syarat Kemenangan