PKP: Nak jadi ‘Ninja Warrior’ atau ‘Keyboard Warrior’?



Oleh: Dr. Muhammad Syafiq Ramli, Yang Dipertua ABIM Pulau Pinang

Assalamu’alaikum warahmatullah wabarakātuh.

Haa, jangan terkejut dengan tajuk ini. Tidaklah saya maksudkan untuk melompat dan melakukan aktiviti fizikal seperti seorang Ninja Warior. Kini kita sudah masuk fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang seterusnya. Pejam celik, dalam kita menjalani tempoh PKP, kita sudah pun melalui madrasah Ramadhan.

Baiklah, sebenarnya asas perbincangan kali ini kepada eksplorasi konsep Lingkaran Pengaruh (Circle of Influence) dan Lingkaran Kerisauan (Circle of Worry).

Lingkaran Pengaruh ini merupakan konsep di mana perkara di dalam lingkaran berada di dalam kawalan kita. Dalam erti kata lain, kita mempunyai pengaruh dan mampu mempengaruhi hasil dari tindakan kita sebagai contoh rumah kita, rutin kita, urusan kerja kita.

Sebaliknya, apa yang berada di luar lingkaran ini seperti keadaan ekonomi dan politik, cuaca dan apa yang berlaku sekarang seperti wabak Covid-19 sekarang ini dipanggil Lingkaran Kerisauan. Ia merangkumi perkara-perkara yang diluar pengaruh kita, di mana kita tidak mampu mempengaruhi hasil sesuatu itu berdasarkan tindakan kita.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit falsafah daripada buku “12 Rule for Life” tulisan seorang Psikologis Klinikal dan juga seorang Profesor di University of Toronto, Dr. Jordan Peterson.
Dalam bab pertama yang bertajuk “Clean Your Own Room”, pokok utama perbincangan ialah memberi fokus pada perkara di dalam lingkaran pengaruh.

Kerana jika kita sering menghabiskan masa kepada perkara di luar lingkaran pengaruh itu, kita akhirnya akan kecewa kerana begitu kecil kapasiti diri kita dalam mempengaruhi perkara diluar lingkaran pengaruh kita.

Bermula dengan sesuatu yang kecil

Seseorang boleh meneruskan rutin hidup sebegitu, namun persoalannya adakah cara itu merupakan satu cara hidup yang mapan? Sudah tentu tidak.

Hal yang demikian, apa alternatif lain yang lebih baik? Sebagai analogi, selaku seorang mahasiswa atau pelajar, ia bermula dengan membersihkan biliknya. Bermula dengan apa yang berada di depan matanya.

Mungkin jika ingin membersihkan keseluruhan bilik dalam masa sehari atau masa yang terhad adalah sukar, jadi bermula secara kecil dan sedikit dahulu. Mula lah dengan menyusun dan membetulkan cadar dan katil, menyusun rak buku dan meja, menyapu di bawah meja. Bermula dahulu daripada perkara yang kecil. Kerjakan secara konsisten dan satu per satu.

Nah, apabila bilik sudah selesai di kemas usaha mengemas rumah boleh dilakukan pula. Jika sudah selesai kemudian persekitaran luar rumah pula, satu per satu dan bergerak pada lingkaran yang lebih besar, kejiranan, bandar dan seterusnya dan seterusnya.

Kenapa begini? Kerana apabila kita memberi fokus kepada benda dalaman atau di dalam lingkaran pengaruh kita, ia akan memperkasakan dan memberikan kekuatan dan keyakinan dalam diri. Dan ia akan bertingkat dari hari demi hari apabila kita berterusan memberi fokus kepada Lingkaran Pengaruh kita.

Apabila Lingkaran Pengaruh kita semakin membesar, Lingkaran Kerisauan kita akan mengecil secara relatif. Maka perkara yang dahulu nya di luar capaian kita mungkin sudah boleh kita berinteraksi dan melakukan sesuatu.

Persiapan adalah Kunci Utama

Dalam konteks ini, kita boleh lihat bagaimana persiapan seorang Ninja Warrior. Mereka bermula dengan satu tekad iaitu untuk menjadi seorang Ninja Warrior, maka mereka membuat persediaan dengan apa yang berada di dalam lingkaran pengaruh mereka iaitu kekuatan fizikal, stamina dan kelincahan mereka.

Peserta Ninja Warrior tidak dapat mempengaruhi atau menentukan bentuk cabaran atau halangan dalam sesuatu saingan kejohana Ninja Warrior, jadi apa yang mereka boleh tumpu kan ialah pada persiapan diri. Paling-paling yang mereka dapat lakukan ialah melakukan persediaan untuk menghadapi cabaran yang saban masa kekal dalam pertandingan itu.

Bayangkan jika seorang peserta Ninja Warior itu menghabiskan masanya merisaukan apa cabaran yang akan ditempuhi pada musim yang akan datang, tanpa sebarang persediaan fizikal seperti latihan. Agak-agak adakah ia mencukupi? Sudah tentu tidak.

Sekarang mari kita bandingkan pula dengan Keyboard Warrior. Secara asas Keyboard Warrior ialah seorang yang berjuang di alam maya, bertekad dalam menegakkan pandangan dan dogma yang mereka beriman dengannya.

Hakikatnya, mereka hanya mampu berdegar-degar ‘berjuang’ di balik papan kunci dan skrin, tanpa mampu memberi impak besar pun pada dunia fizikal. Mereka hanya sibuk dengan perkara yang di luar Lingkaran Pengaruh mereka seperti isu politik, ekonomi, dan isu-isu lain tanpa sebarang usaha dalam melakukan sesuatu yang bermakna di dalam Lingkaran Pengaruh mereka.

Keberanian Bertindak

Berbeza dengan Ninja Warrior, bermula dengan tekad, ia diikuti dengan tindakan sedikit demi sedikit yang konsisten. Sehingga akhirnya berjaya mencapai matlamat yang ditujui.

Begitu juga kita sekarang semasa PKP ini, adalah merugikan jika tenaga kita dihabiskan sekadar risau akan perkara berada di luar kawalan kita. Ambillah sikap yang proaktif dan berfokus kepada yang dapat kita usahakan.

Secara ringkas, ambil lah sikap yang positif, sebagai seorang Muslim kita haruslah mengambil iktibar dari Surah Al-‘Asr. Janganlah meneruskan diri dalam lembah kerugian.

Jadi apakah tindakan yang dapat kita lakukan sekarang untuk mencontohi seorang Ninja Warior semasa PKP ini?

1. Refleksi semula perkara yang berada di dalam Lingkaran Pengaruh dalam hidup dan rutin harian kita

2. Senaraikan apa projek-projek peribadi, senarai semak yang selama ini tertunggak akibat kesibukan kerjaya? Apa Azam tahun 2020, sejauh mana kita sedang menyalurkan usaha kita? Turun berat badan? Belajar dan menguasai bahasa lain? Memulakan saluran Youtube sendiri?

3. Tulislah dengan cantik. Jika tulisan kurang cantic, taiplah dengan menggunakan perisian komputer dan cetak. Letak dan tampalkan di tempat yang kita selalu lihat sebagai peringatan.

4. Mula melakukan rancangan yang konkrit dan lakukannya. Tidak cukup hanya merancang tanpa melaksanakannya. Rekodkan di dalam journal, gunakan aplikasi sedia ada untuk menyemak perjalanan usaha anda. Mulakan langkah pada skala kecil, yang penting, lakukan secara konsisten

Sebagai konklusi, sekarang lah masanya untuk dimanfaatkan. Kurangkan aktiviti yang tidak membawa kita dekat dengan objektif kita. Nah, buatlah keputusan: apakah anda ingin menjadi seperti ‘Ninja Warrior’ atau menjadi ‘Keyboard Warrior’?

Tepuk dada, tanyalah iman kita.

#ABIMdiHatiku
#SebarkanSalam #IslamItuDamai

 — with Syafiq Ramli.

Comments

Popular posts from this blog

Ibnu Taymiah, Ngauman di bulan Ramadhan!

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 1