Ramadan – ‘Rehlah Kerohanian, Amal Kebajikan’



Ramadan – ‘Rehlah Kerohanian, Amal Kebajikan’
Ramadan membawa kita kembali daripada kehidupan biasa dan resam lazim, kepada istirahat, 'rehat yang bermakna' dari materialisme yang asyik dan menyibukan, ‘berpisah sejenak’ dari urusan duniawi. Ini adalah pelarian ma’nawi dan pengunduran rohani tetapi tanpa benar-benar meninggalkan atau menjauhi dunia. Kehidupan seharian terus berjalan kecuali kesenangan duniawi dan keinginan nafsu yang dibatasi dengan penuh tekad. Disiplin diri baru datang secara tiba-tiba, kemudian menjadi cara hidup yang normal. Terserlah suatu lonjakan semangat, pemugaran keikhlasan, penyemaian kesabaran, membawa keinsafan, memupuk belas kasihan dan membina keazaman.
Bagaimana ini boleh berlaku? Pertama, Syaitan yang jahat, musuh utama kita sebenarnya, samada secara kiasan atau nyata, Syaitan dihalang daripada mengganggu umat manusia sepanjang bulan suci ini. Pada bulan ini juga melimpah ruah keberkatan, pengampunan, rahmat, peningkatan pahala yang berganda-ganda banyaknya dan peluang keemasan untuk beramal dan berbuat baik, bersedekah membantu orang susah dan melaksana ibadah - ibadah, bertambah kesedaran, waktu bertafakur, refleksi diri dan membangkitkan motivasi dalaman serta menghidupkan perasaan kebersamaan masyarakat dalam satu kesatuan iman dan ketakwaan kepada Allah Maha Kuasa.
Ramadan adalah ‘rehlah agama’, taman kerohanian, tanpa perlu berhijrah atau melakukan perjalanan jauh. Kita tidak perlu meninggalkan urusan dan permasalahan kita. Tidak, sebaliknya, bulan Ramadhan yang mengisi jiwa kita, diri kita, hati kita, fitrah kita - sifat semula jadi dan sifat asasi kita – melawan nafsu yang buas dan ganas - untuk kembali lebih kuat dari sebelumnya pada iman, sahsiah dan amal salih. Dengan keimanan, dengan ketaqwaan, pautan hati kepada Tuhan, dengan kekuatan fitrah yang lebih kuat, meningkatkan kekuatan dalaman kita, kita akan mengatasi segala masalah dan kerisauan yang menghambat kita. Dengan berpuasa dan menjalani serta mematuhi semua amalan dianjurkan, dan menuruti syarat-syaratnya, yang wajib dan yang sunat; nafsu kita akan ditundukkan dan dikawal, agar diri kita kembali ke keadaan yang lebih suci dan lebih murni. Puasa menanamkan nilai murni ke dalam diri kita, melatih kita, mendisiplinkan kita agar mencari dan memaknai pencerahan kerohanian sepanjang malam dan siang, untuk sentiasa berada dalam kesedaran kepada kehadiran Allah swt, dhikrullah yang mendalam, bertafakkur, merenung, bermuhasabah, mengumpulkan amal kebaikan, mencari pahala dan mencapai matlamat akhir, taqwa, tahap tertinggi kesedaran dan dhikrullah, berharap dan takut hanya kepada Allah swt.
Ya, kita memang menghadapi kesengsaraan, mungkin secara peribadi dan sebagai bangsa, sebagai ummah. Sekarang seluruh dunia menghadapi satu malapetaka terbesarnya, wabak pandemik maut yang menimpa semua orang. Kita terpaksa mengasingkan diri dan berada dalam keadaan terpencil. Ramadan tahun ini tidak akan sama lagi. Musibah yang sedang dan bakal mengiringi pandemik ini adalah dalam bentuk masalah sosial dan kesan kelemesetan teruk ekonomi yang akan menekan mereka yang paling lemah. Ini ujian Allah swt. Cabaran berat yang menimpa ini memerlukan keimanan, ketahanan dan mujahadah yang kuat - berusaha dan berjuang dalam menegakkan prinsip-prinsip Islam, mencari penyelesaian tuntas dan, membela serta mempertahankan umat – memastikan diangkat martabat dan integriti masyarakat Islam. Ini memerlukan kesatuan umat dan persaudaraan erat di mana yang kaya menolong yang miskin, yang senang menolong yang susah, yang sihat menolong yang sakit. Salah satu pelajaran dan hikmah Ramadan adalah membuat umat Islam merasakan penderitaan orang miskin, orang sengsara dan, merenung serta bertindak terhadap nasib mereka, untuk bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurniaNya, rahmatNya supaya kita menggunakan apa yang diberikan kepada kita, apa harta milik yang kita sayangi dalam perkhidmatanNya dan, untuk berinfaq, bersedekah, untuk menolong orang lain yang sangat memerlukan. Kita mesti ingat penderitaan orang yang tertindas. Puasa membawa kesedaran seperti itu dan menyedarkan kita akan kenyataan realiti pahit yang memerlukan islah serta amal salih dan mengikat kebersamaan kita dalam menghadapi cabaran di hadapan kita.
Ramadan membangunkan kita daripada lena kehidupan, mengingatkan kita pada Malam Kekuasaan yang hebat - Laylatul Qadr, di mana hidayah kebenaran tertinggi diwahyukan kepada Nabi ﷺkita yang mulia dan disanjungi, Muhammad ﷺ , kekasih kita, pemimpin kita, panduan contoh teladan kita, salawat dan rahmat Allah ke atasnya. Al Qur’an diturunkan dengan keagongannya dan ia benar-benar merubah manusia dengan menghubungkannya ke langit tertinggi. Dengan menyingkapkan dan menyinarkan petunjuk ke arah keimanan sejati, al furqan - kriteria, ukuran, prinsip, standard untuk membezakan antara yang baik dan yang jahat, di antara mereka yang berada di jalan yang benar dan mereka yang terkutuk dan sesat; tidak ada keraguan, tidak ada kesangsian tentang kebenaran mutlak wahyu Allah dan risalah Islam sebagai pedoman, harapan dan rahmat bagi umat manusia.
Walaupun berada pada saat-saat musibah, kilauan bulan Ramadhan, lonjakan ketekunan zikir, ibadah dan amal usaha peningkatan ketaqwaan akan menggapai kemenangan dan kejayaan. Walaupun merasa sangat sedih dan sayu kerana mungkin kita tidak akan dapat bersama, berjemaah dan berhimpun di masjid-masjid kita. Orang-orang yang beriman amat mencintai dan menekuni amal ibadah mereka dan mereka sangat terasa serta terharu jika tidak dapat memenuhi tuntutan agama Islam seperti berjemaah di masjid. Umat Islam yang cukup menghargai bulan barakah ini tidak sekali-kali akan membiarkannya ia berlalu begitu saja dengan tidak mengendahkannya. Ya, ada orang-orang pada masa lalu dan mungkin ada juga yang pada masa ini yang terleka lalu terabai, meremehkan Ramadhan dan amal ibadah kerohanian yang berkaitan. Sebahagiannya hanya memandangkannya sebagai hidup berjalan seperti biasa, melakukan aktiviti biasa sepanjang hari dan malam. Walaupun amatlah lebih baik dan amatlah wajar untuk menumpukan masa dan menghormati waktu keemasan yang terhad bagi amalan seperti menunaikan solat tarawih, berjaga malam, membaca Al-Quran, menghayati kelazatan kerohanian dan menginsafi hikmah berpuasa. Ada yang hanya ingin menjaga agar tidak batal puasa dan berbuka puasa, menganggapkan ia hanya perubahan jadual waktu sementara dalam urusan harian. Ada banyak manusia di dunia ini yang masih belum mendapat pencerahan lalu tidak mengetahui dan tidak mengerti bulan yang penuh keberkatan ini sehingga mereka membiarkan saja Laylatul Qadr - Malam Kekuasaan berlalu tanpa merasakan kehilangan bahkan tidak menyedari kewujudan atau kepentingannya sama sekali.
Ramadan kali ini barangkali tidak disambut seperti biasa dalam beberapa aspek dan memerlukan penyesuaian dalam keadaan musibah yang menimpa umat. Namun, diharapkan dan didoakan dengan kesedaran, bimbingan, sokongan dan tunjuk ajar dari pimpinan umat, kaum keluarga dan rakan-rakan serta dokongan masyarakat, bahawa kali ini, dengan bermunajat, berserah sebulat-bulatnya, memohon pertolongan Allah s.w.t. dan hanya kepada-Nya kita meminta pertolongan, kita akan dapat melakukan amalan yang terbaik dalam berpuasa, dalam meningkatkan diri dan menunaikan tuntutan Ramadan sehingga kita berjaya mencapai tahap ketaqwaan yang tertinggi.

Hj Hamdan Mohd Hassan
Timbalan Pengerusi Wadah Pencerdasan Umat Pulau Pinang WADAH

I S L A H M E D I A SIRI RAMADAN 3
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN