RAMADHAN BULAN PESTA , BULAN GANJARAN



Selamat menyambut Ramadhan kepada semua umat Islam, satu bulan yang sangat dinanti-nantikan dan kalau boleh biarlah Ramadhan itu sepanjang tahun. Apa tidaknya, sejak bulan Rejab lagi kita sering mendoakan agar usia kita dipanjangkan hingga Ramadhan. Doa panjang umur itu juga dicontohkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana riwayat hadith berikut:
كان إذا دخل رجب قال اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغنا رمضان
Artinya, “Jika masuk bulan Rajab, Rasulullah berdoa, ‘Ya Allah, berkatilah kami pada Bulan Rajab dan Sya‘ban. Sampaikan kami ke Bulan Ramadhan.’”
Betapa besarnya harapan agar kita dapat bertemu dengan Ramadhan tahun ini sekali lagi, juga dengan harapan sekali lagi kita dapat memungut segala mutiara-mutiara indah yang hanya keluar dalam bulan Ramadhan sahaja. Justeru saya mengungkapkan bulan Ramadhan sebagai Bulan Pesta untuk umat Islam, kerana banyaknya aktiviti yang ditawarkan dalam bulan ini dengan ganjaran yang sangat lumayan bagi orang yang menyertainya. Apa yang lebih penting dari itu, tawaran Grand Prize-nya yang sangat lumayan yang sama sekali tidak mampu ditawarkan oleh mana-mana pesta anjuran manusia di dunia ini. Pesta ini tiket untuk masuk ialah Islam yang mengucap dua kalimah Syahadah sahaja yang boleh menyertainya. Tidak disyaratkan kaya miskin, sihat sakit, normal atau OKU, rupa paras dan warna kulit, pangkat kedudukan dan apa saja penilaian manusia, cuma syaratnya, Islam.
Apakah aktiviti yang ditawarkan dalam bulan ini dan apa pula ganjaran yang menanti bagi peserta yang menyertai dalam aktiviti-aktiviti tersebut? Terlalu banyak dan tidak akan termuat dalam makalah yang ringkas ini, malah jika dimuatkan dalam ensiklopedia pun belum tentu habis untuk kita tuliskan aktiviti yang ditawarkan dalam bulan ini. Ganjarannya pula Masya Allah tidak tergambar dalam jiwa manusia yang kerdil ini untuk mengambarkan betapa besarnya ganjaran yang akan diberikan, walau satu aktiviti kecil yang lakukan. Contahnya sabda Nabi Muhammad s.a.w tentang membaca al Quran,
Dari Ibn Mas'ud r.a telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w telah bersabda:
"Barangsiapa membaca satu huruf daripada Kitabullah (Al Quran) maka baginya satu kebajikan dan tiap-tiap kebajikan sepuluh kali gandanya. Aku tidak mengatakan 'Alif Lam Mim ' satu huruf tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf"
Bayangkan kalau kita baca:-
1. 1 huruf al-Quran dengan berwuduk (diluar solat) = 1 kebajikan =10 pahala
2. 1 huruf al-Quran (dalam solat) = 100 kebajikan = 100 x 10 = 1000 pahala
3. 1 huruf al-Quran (ketika berpuasa berwuduk diluar solat) = 1 kebajikan x 10 x 10 = 1000 pahala
4. 1 huruf al-Quran (ketika berpuasa berwuduk dalam solat) = 100 kebajikan x 10 pahala = 1000 pahala x 100 = 100,000 pahala
Lihatlah betapa besarnya ganjaran yang diberikan kepada umat Islam yang membaca al Quran dengan berwuduk diluar sembahyang dalam bulan Ramadhan di akan mendapat sebanyak 1000 pahala, kalau satu muka surat ada 15 baris x 45 huruf satu baris (bukan tepat) = 15 baris x 45 huruf = 675 huruf x 1000 = 675,000 pahala hanya dengan membaca satu muka surat. Dengan hanya membaca 2 muka surat anda sudah menjadi jutawan pahala.
Puasa di bulan Ramadhan adalah ibadah yang agung, bahkan pahala puasa tidak terbatas kelipatannya. Sebagaimana dikabarkan dalam sebuah hadith qudsi:
كل عمل ابن آدم له الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف قال عز و جل : إلا الصيام فإنه لي و أنا الذي أجزي به
Setiap amal manusia akan diganjar kebaikan semisalnya sampai 700 kali ganda. Allah Azza Wa Jalla berfirman: ‘Kecuali puasa, karena puasa itu untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.’” (HR. Muslim no.1151)
Dan sedekah, telah kita ketahui keutamaannya iaitu seperti ayat al Quran dalam surah al-Baqarah.
: مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ
Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (Surah al-Baqarah, ayat 261)
Sebagai contohnya kita menderma dalam bulan biasa bukan bulan Ramadhan dengan ikhlas kerana Allah taala, Allah akan ganjarkan sebanyak 700 pahala, kalau kita menderma RM1.00 x 700 = RM 700.00 , kalau dalam bulan Ramadhan setiap amalan anak adam akan digandakan bermakna RM700.00 x RM700.00= RM 490,000.00, seandainya kita menderma sebanyak RM10.00 maka kita akan menjadi jutawan akhirat iaitu RM 4,900,000.00 ( 4.9k)
Selain dari itu diantara aktiviti yang mudah tetapi mendatangkan pahala yang sangat besar ialah memberi makan orang yang berbuka puasa. Tidak disyaratkan yang berbuka itu mesti orang miskin tetapi sesiapa sahaja yang berpuasa seperti sabda Nabi s.a.w. dari daripada Zaid bin Khalid,
مَن فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثلُ أَجْرِهِ، غَيْرَ أَنَّهُ لَا يَنْقُصُ مِن أَجْرِ الصَّائِمِ شَيئًا
Maksudnya: “Siapa yang memberi makan orang yang berpuasa maka baginya pahala seumpamanya tanpa sedikitpun kurang pahala orang berpuasa.”
Terlalu banyak lagi aktiviti yang ditawarkan dalam pesta Ramadhan ini yang tak dapat untuk saya nukilkan dalam makalah yang ringkas ini, tapi cukuplah untuk saya katakan bahawa kasih Allah terserlah dalam pesta Ramadhan ini. Apa tidaknya apa sahaja aktiviti kebaikan yang lakukan dalam bulan Ramadhan ini semuanya akan menghasilkan ganjaran yang sangat besar, contohnya tidur orang yang berpuasa dikira ibadah, diam orang berpuasa dikira pahala zikir, doa orang berpuasa sangat makbul, amalan sunat dan fardhu pahalanya digandakan.
Daripada Abdullah bin Awfa RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:
نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ
Maksudnya: “Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3654)]
Untuk apa semua ini diberikan oleh Allah s.w.t. berikan kepada kita, tidak lain dan tidak bukan melainkan kerana untuk memastikan kita dapat mengumpul seberapa banyak pahala yang boleh kita kumpul, dengan harapan dengan pahala yang banyak itu akan menjamin kita untuk masuk ke syurga Allah yang yang tiada tolok bandingnya nikmat yang diberikan di sana.
Dan yang terakhirnya satu tawaran yang sangat lumayan dan mampu menjamin peserta pesta Ramadhan mendapat ganjaran syurga Allah iaitulah Lailatul Qadar. Malam yang menyamai ibadah seorang hamba melebihi 80 tahun, atau lebih 1000 bulan bagi semua peserta yang dapat beramal dalam malam al Qadar itu.
Allah berfirman,
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ
Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Qur’an pada malam Lailatul Qadar, tahukah engkau apakah malam Lailatul Qadar itu ? Malam Lailatul Qadar itu lebih baik dari seribu bulan, pada malam itu turunlah melaikat-malaikat dan Jibril dengan izin Allah Tuhan mereka (untuk membawa) segala usrusan, selamatlah malam itu hingga terbit fajar” [Al-Qadar/97 : 1-5]
Meskipun ganjarannya sangat besar , namun aktiviti yang ditawarkan adalah biasa sahaja yang semua kita mampu lakukan, iaitulah banyak beribadah pada 10 malam akhir Ramadhan dengan penuh ikhlas serta mengharapkan rahmat Allah, maka semua peserta aktiviti ini akan mendapat ganjaran yang ditawarkan oleh Allah.
Siapakah yang mampu memberi ganjaran yang sebesarkan itu dengan amalan yang biasa sahaja, kecuali dengan kasih sayang Allah kepada hambanya yang beriman. Hanya beramal satu malam kita diganjarkan dengan pahala beribadah selama 80 tahun lebih, dimana umur kita pun mungkin tak sepanjang itu. Justeru saya mengharapkan kita merenung secara mendalam artikal ini, memburu peluang yang hanya dibuka setahun sekali dimana Ramadhan tahun hadapan belum tentu kita dapat bersamanya lagi.
Janganlah kita menjadi manusia yang rugi, mensia-siakan peluang yang terhidang dihadapan kita dengan dengan pelbagai alasan sedangkan semua alasan itu adalah kerana kemalasan dan kecuaian kita melayani kehendak nafsu dunia yang tiada berpenghujung, sedangkan dunia ini akan kita tinggalkan.
Ustaz Mahamad Aziz bin Abdullah
Pengerusi Yayasan Takmir Pendidikan Pulau Pinang
Azma/12.50 mlm/260420
I S L A H M E D I A SIRI 6
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: IBRAH ISLAH DAN TRANSFORMASI BERMAKNA

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 1