Dr. Siddiq Fadzil: Perjalanan Mendekati Allah (Bahagian 2 Akhir)



Gagasan Sa`id Hawwa Tentang Al-Sayr Ila 'Llah (Perjalanan Mendekati Allah): Rumusan Dan Ulasan

Zikir: Wahana Ma`iyyatu ‘Llah

 

Perjalanan menuju Allah (al-sayr ila ‘Llah) pada dasarnya adalah usaha penyihatan hati demi mencapai matlamat al-qalb al-salim. Hati yang sihat sebagaimana yang disebut dalam hadith riwayat al-Bukhariy yang terkenal itu adalah punca kesihatan diri - jasmani-rohani - seseorang. Hati yang sihat juga adalah titik tolak ke arah kehidupan Islami (al-hayat al-Islamiyyah) yang utuh dan menyeluruh, istiqamah dalam melaksanakan hak-hak Allah sebagai realisasi `ubudiyah yang setulusnya. Dalam kaitan inilah pentingnya zikir sebagai wahana penyihatan hati dan kesedaran batin tentang kehadiran Allah di mana pun dan bila-bila pun. Hati yang berpenyakit, jika dibiarkan tanpa penyihatan akhirnya akan mati. Hati yang mati seperti yang disebut oleh Ibn `Ata’i ‘Llah al-Sakandariy dalam al-Hikamnya, “… tidak berasa sedih atas luputnya amal ketaatan, dan tidak menyesal dengan maksiat yang telah dilakukan.”

 

Zikir secara literal bermakna menyebut dan mengingat. Dhikru ‘Llah adalah manifestasi cinta hamba terhadap Tuhannya. Demikianlah resam orang bercinta, sentiasa mengingat dan menyebut yang dicintai. Manusia secara fitri memang menyenangi kesempurnaan dan keindahan. Kedua-duanya, al-Kamal dan al-Jamal ada pada Allah, malah pada hakikatnya Allah adalah puncak segala kesempurnaan dan puncak segala keindahan sebagaimana yang terungkap lewat Nama-Nama Indah-Nya yang 99 itu. Penghayatan erti hakiki al-Asma’ al-Husna akan memberikan rasa nikmat berdampingan dengan (Tuhan) Yang Maha Sempurna lagi Maha Indah.

 

Mencintai Allah adalah cinta yang timbal balik, mencintai dan dicintai sebagaimana yang dinyatakan dalam surah Ali `Imran:31 yang menyebut kenescayaan cinta Allah buat mereka yang mencintai-Nya dengan cara mentaati dan meneladani al-Rasul . demikian juga dengan surah al-Ma’idah: 54 yang menyebut tentang kualiti umat yang ditampilkan sebagai ganti golongan yang murtad. Mereka disebut sebagai kaum yuhibbuhum wa yuhibbunahu (Allah menyintai mereka, dan mereka demikian pula, sama-sama saling menyintai). Memang demikianlah berlakunya kesalingan yang juga meliputi dhikr sebagaimana yang dinyatakan dalam surah al-Baqarah:152 (Ingatilah Aku, nescaya Aku mengingati kamu pula). Apabila Allah mengingati seseorang, tentunya bukan sekadar ingat, tetapi ingat yang membawa rahmat. Dengan kata lain, seseorang yang diingati oleh Allah bererti berada dalam bimbingan dan perlindungan-Nya. Demikianlah betapa beruntungnya orang yang berzikir, kerana zikir adalah pembawa rahmat dan kurnia. Sebagaimana berlakunya kesalingan dalam dhikr, demikian pula sebaliknya jika lupa terhadap Allah yang berakibat dilupakan oleh Allah dalam erti tersingkir dari rahmat-Nya (al-Hashr:19).

 

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّوْنَ اللّٰهَ فَاتَّبِعُوْنِيْ يُحْبِبْكُمُ اللّٰهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوْبَكُمْۗ وَاللّٰهُ غَفُوْرٌ رَّحِيْمٌ ٣١

Katakanlah (Muhammad), "Jika kamu mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mencintaimu dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. (aali Imran 31)

 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا مَنْ يَرْتَدَّ مِنْكُمْ عَنْ دِينِهِ فَسَوْفَ يَأْتِي اللَّهُ بِقَوْمٍ يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ

Wahai orang-orang yang beriman! Sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Ia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia (al Ma’idah 54)

 

فَٱذْكُرُونِىٓ أَذْكُرْكُمْ وَٱشْكُرُوا۟ لِى وَلَا تَكْفُرُونِ

Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu (dengan mematuhi hukum dan undang-undangKu), supaya Aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu). (al Baqarah 152)

 

وَلَا تَكُونُوا۟ كَٱلَّذِينَ نَسُوا۟ ٱللَّهَ فَأَنسَىٰهُمْ أَنفُسَهُمْ ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلْفَٰسِقُونَ

Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik - derhaka. (al Hasyr 19)

 

Menyedari peri pentingnya dhikru ‘Llah seperti yang diungkapkan di atas, para ahli rohaniah berusaha menyebatikannya dalam kehidupan harian mereka menerusi kaedah-kaedah tertentu yang dirasakan berkesan. Imam al-Ghazaliy r.`a. misalnya, menganjurkan zikir dan do`a tertentu untuk diamalkan pada waktu-waktu yang menyelangi antara sembahyang-sembahyang fardhu. Zikir yang juga meliputi du`a, membaca al-awrad dan tilawah al-Qur’an biasanya dipelbagai untuk mengelak kejemuan. Kejemuan mengingati Allah memang seharusnya dihindari, kerana ia akan mengundang kejemuan Tuhan terhadap hamba-Nya. Masalah yang selalu dialami dalam zikir ialah ketidakhadiran hati bersama Allah. Dalam kaitan ini Ibn `Ata’i ‘Llah r.`a. menyarankan agar hal itu tidak usah dijadikan halangan untuk terus berzikir, kerana sesungguhnya melalaikan zikir (tidak berzikir sama sekali) itu lebih buruk berbanding lalai dalam keadaan berzikir.

 

Zikir yang dihayati dan disebatikan dalam kehidupan akan membentuk sikap dan watak yang selayaknya sebagai hamba dan khalifah Allah. Sikap dan watak mereka yang mengamalkan zikir al-Asma’ al-Husna misalnya, akan mencerminkan sifat-sifat al-Asma’ tersebut dalam konteks dan batas kemanusiaan. Ia akan terdorong untuk bersikap adil, berilmu, penyayang, pemurah dan seterusnya. Kerana itu zikir dengan dampak perwatakan sedemikian itu disebut sebagai `ibadah ijtima`iyyah yang menjelmakan kepedulian sosial dengan semangat kebaktian yang tinggi.

 

Dr Siddiq Fadzil KDH: 17052007

(ihsan Minda Madani, sila layari  http://www.mindamadani.my/  )

 

I   S   L   A   H         M   E   D   I   A        SIRI  USF           

Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia    

No akaun BANK ISLAM  12029010069484


Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN