Dr Siddiq Fadzil: Tadabbur, Sejarah dan Hikmah




Dr Siddiq Fadzil: Tadabbur, Sejarah dan Hikmah
Hikmah
Al Quran itu sendiri sarat dengan hikmah, sangat tinggi kedudukannya dan mengungguli kitab-kitab yang sebelumnya. Segala sesuatu yang termuat di dalam Al Quran adalah hikmah.
Untuk memetik, menimba hikmah, cara terbaik adalah dengan tadabbur merenung al Quran, di samping menekuni al Sunnah. Ia boleh dipelajari, boleh diambil dengan usaha gigih, maka salah satu misi Rasulullah ﷺ ialah mengajar al Kitab dan al hikmah
Apabila al-Qur’an disebut hakim (...wa ‘l-Qur’ani ‘l-hakim) bererti ia adalah khazanah hikmah paling kaya. Al-hikmah, termasuk hikmah Qur’aniah sebenarnya dapat dipelajari menerusi tadabbur, perenungan yang serius dan berterusan dengan akal yang jernih dan hati yang bersih. Al-hikmah ada pada setiap ayat, termasuk ayat-ayat dialog yang memang banyak sekali terdapat dalam al-Qur’an. Demikian banyaknya sehingga ada ulama yang menyebutnya kitabu hiwar atau kitab dialog yang memuatkan dialog antara pelbagai pihak: dialog Allah s.w.t. dengan para malaikat, dialog Allah s.w.t. dengan iblis, dan dialog para nabi a.s. dengan Tuhan.
Dialog Qur’ani (al-Hiwar al-Qur’aniy)
Banyak yang tidak menyedari bahawa separuh daripada al Quran itu ialah berbentuk dialog. Hanya separuh adalah hukum hakam perintah daripada Allah swt. Pendidikan berasaskan dialog yang menyedarkan, merangsang berfikir. Maka, untuk mendapatkan hikmah, cubalah teliti al Quran daripada aspek dialog-dialognya, berbanding sebahagian yang berorientasikan hukum dalam meneliti al Quran.
Malah al-Qur’an juga banyak memaparkan pemikiran yang bertentangan dengannya secara yang sangat objektif, dan setelah itu dibahas berasaskan hujah dan keterangan. Banyaknya ayat-ayat dialog diindikasikan oleh banyaknya kata qala (berkata) dan kata-kata terbitannya yang berjumlah lebih 1700 patah kata. Apabila al-Qur’an pada Surah al Hujurat:13 menyebut tujuan penciptaan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku ialah untuk saling mengenal (...lita`arafu), jelas tidak mungkin berlaku ta`aruf tanpa dialog. Dengan demikian dialog adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan insan. Sebagai khalifah Allah, manusia melaksanakan misinya dengan bahasa yang dipakai untuk dialog, kerana ia diamanahkan untuk menyebar dan memartabatkan kalimatu ‘Llah.
Sejarah
Pengkisahan sejarah para rasul dalam al-Qur’an bukan dengan maksud lipur lara, tetapi membawa mesej edukatif penguatan hati, pemantapan jiwa dan pengentalan semangat sebagaimana yang diungkapkan dalam al-Qur’an dengan kata “… ma nuthabbitu bihi fu`adak” -… ‘ialah kisah-kisah yang dengannya Kami teguhkan hatimu.’ (Surah Hud: 120)
Kisah-kisah Qur’ani (al-qasas al-Qur’aniyyah) bukan sarat dengan mitos dan legenda. Ia adalah peristiwa nyata berintikan pengajaran yang dalam bahasa al-Qur’an disebut `ibrah. Terserlahnya salah satu mukjizat ilmiah al-Qur’an, iaitu pemakaian istilah yang menepati fakta sejarah. Demikianlah yang namanya sejarah. Peristiwanya telah berlalu, tetapi pengajarannya terus relevan sepanjang zaman. Sejarah boleh berulang dan boleh tidak, tetapi yang pasti perangai manusia tetap sama.
Zaman boleh berubah, cara hidup boleh beranjak, sistem pemerintahan boleh berganti, namun tabiat manusia tidak pernah berubah. Watak-watak manusia dalam sejarah silam akan terus menjelma dari masa ke masa dengan wajah dan nama yang berbeza. Watak-watak jahat dan bejat terus-menerus bermunculan mementaskan kisah lama yang dikemaskini. Hanya versi dan rinciannya sahaja yang berbeza-beza, sedang tema besarnya masih sama.
Antara ayyami ‘Llah (sejarah) dengan `ibar/`ibrah (pengajaran), ternyata wujud hubungan langsung yang sangat erat. Kefahaman tentang batin sejarah atau mesej tersirat di balik peristiwa sejarah itulah yang dinamakan hikmah atau wisdom. Demikianlah hakikat peri pentingnya belajar dari sejarah sebagai bahagian daripada agama. Meremehkan sejarah bererti mengabaikan komponen penting al-Qur’an, dan mengenepikan misi besar para rasul. Kegagalan memahami dan menangkap mesej sejarah pula bererti kehilangan hikmah.
Demikianlah hakikatnya, bahawa kisah-kisah yang dipaparkan dalam al Qur’an adalah inspirator kesedaran dan sekaligus penyuntik kekuatan mental-spiritual yang sangat menakjubkan.
Khatimah
Begitulah memahami dan menghayati usrah sebagai proses pembelajaran bersama. Asasnya al Qur’an dan al Sunnah. Itulah sumber tradisi ilmu berpaksikan al Qur’an dan al Sunnah dan seterusnya berkembanglah ke mana-mana pun. Al Qur’an mesti hadir, daripada pembacaan, pemahaman hingga penghayatannya. Itulah tradisi yang kita pertahankan dan kita mewariskan. Inilah uncompromising policy – dasar yang tidak boleh diabaikan, pangkalnya mesti rujukan al Qurán. Al Qur’an ditafsirkan dengan panduan dan penjelasan al Hadith Rasulullah ﷺ.

(Susunan semula dan adaptasi daripada siri-siri koleksi Tafsir Maudu’iy Dr Siddiq Fadzil yang lalu)

I S L A H M E D I A SIRI USF
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN