MENGGAPAI TAQWA: TAQWA DAN IBADAH PUASA Bahagian 1



 
oleh Cikgu Abdul Halim Ismail

Taqwa Sebagai Maqasid Puasa
Ibadah puasa telah menjadi sebahagian dari syariat agama-agama yang dibawa para nabi dan rasul terdahulu termasuk syariat Nabi Musa dan Nabi Isa (`alayhimassalam). Dalam konteks Nabi Muhammad (saw) dan Islam, ibadah puasa difardukan pada bulan Sya’ban tahun kedua setelah Hijrah al-Rasul. Ayat 183, Surah al-Baqarah, menegaskan kewajipan berpuasa kepada umat Muhammad (saw) dan sekaligus menjelaskan bahawa ibadah yang sama telah difardukan ke atas umat-umat terdahulu:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ.
Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu beroleh ketaqwaan – al-Baqarah 2:183.
Kalimat la`allakum tat-taquun (لعلكم تتقون) yang bermaksud “agar kamu beroleh taqwa” menjelaskan tujuan utama ibadah ini difardukan atau disebut sebagai maqasid al-siyam. Ini bererti bahawa dengan melakukan ibadah puasa, seseorang itu berupaya membina dan meningkatkan sifat ketaqwaan dalam dirinya. Disebabkan pentingnya taqwa, wajar kita merenung konsep ini dengan lebih mendalam. Ini akan membantu kita menghayati ibadah puasa dengan lebih baik apabila kita berusaha memenuhi maqasidnya. Al-Sa’di, menulis ketika memberi komentar kepada ayat ini, katanya فإن الصيام من أكبر أسباب التقوى, bahawa puasa merupakan antara asbab terbesar terbinanya taqwa.
Islam menjelaskan bahawa matlamat yang perlu diusahakan oleh orang-orang yang beriman dalam kehidupannya ialah mencapai darjat taqwa setinggi-tingginya. Mereka yang mencapai darjat demikian berada pada semulia-mulia kedudukan di sisi Allah (swt).
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ.
Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Teliti – al-Hujurat 49:13.
Mesej ketaqwaan bukan sahaja menjadi intipati ajaran Islam tetapi juga agama-agama sebelumnya, seperti yang dicatat dalam al-Quran:
وَلَقَدْ وَصَّيْنَا الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِن قَبْلِكُمْ وَإِيَّاكُمْ أَنِ اتَّقُوا اللَّهَ.
Kami telah memerintahkan kepada orang yang diberi kitab sebelum kamu dan (juga) kepadamu agar bertaqwa kepada Allah – al-Nisa’ 4:131.
Allah (swt) menyampaikan perintah agar manusia menjadi orang bertaqwa dalam berbagai ayat al-Quran. Antaranya: Arahan agar orang-orang yang beriman untuk bertaqwa dengan sebenar-benar taqwa (Aali Imran 3:102), hendaklah orang-orang yang beriman agar bertaqwa dan berkata benar (al-Ahzab 33:70), hendaklah orang-orang yang beriman, bertaqwa dan beriman dengan rasul (al-Hadid 57:28). Di tempat-tempat yang lain Allah (swt) menjelaskan bahawa Al-Quran didatangkan sebagai petunjuk kepada al-muttaqin(al-Baqarah 2:2), bahawa Allah (swt) akan sentiasa bersama orang-orang bertaqwa dan berbuat baik (al-Nahl 16:128), bahawa pengampunan dan syurga seluas langit dan bumi disediakan untuk al-muttaqin (Aali-Imran 3:133). Dalam salah satu hadis Rasulullah (saw) berpesan kepada Abu Zar dan Mu`az bin Jabal supaya bertaqwa kepada Allah di manapun berada (إتق الله حيثما كنت).
Kepentingan taqwa turut tergambar berdasarkan kekerapan pengulangan kalimat ini di dalam al-Quran. Kalimat taqwa diungkap sebanyak 182 kali dalam sighah fe`el dan 76 kali dalam sighah ism.
Taqwa Sebagai ‘Amal Qalbi
Taqwa dari segi bahasa berkait rapat dengan kalimat wiqayah yang membawa maksud menjaga, memelihara dan menjauhi. Ayat-ayat al-Quran berikut mengandungi kalimat-kalimat waqaa-na dan waqaa-hum dapat membantu kita memahami maksud taqwa. Antaranya:
فَمَنَّ اللهُ عَلَيْنَا وَوَقَّانَا عَذَابَ السَّمُومِ.
Maka Allah memberi kurnia kepada kami dan memelihara kami dari azab neraka
– al-Tuur 52:27.
فَوَقَاهُمُ اللهُ شَرَّ ذَلِكَ الْيَوْمِ ولقَّاهم نَضْرَةً وَسُرُوْرَا.
Maka Allah memelihara mereka dari kesusahan hari tersebut dan mengurniakan mereka keceriaan dan kegembiraan – Insaan 76:11
Taqwa secara mudah sering ditakrif sebagai “melakukan apa yang diperintah Allah dan meninggalkan larangan-Nya.” Takrif ini jelas merujuk kepada perbuatan zahir yang dilakukan oleh manusia. Namun pengertian ini tidak sepenuhnya tepat. Jauh lebih menyimpang, kiranya taqwa dinilai berdasarkan zahir seseorang dari segi penampilan diri dan pakaian. Adalah juga salah untuk menganggap orang yang bertaqwa seperti para darwis yang meninggalkan keselesaan hidup dunia, memencil dan memisah diri dari masyarakat. Dr Yusuf al-Qaradawi memberi pandangan yang jelas tentang hal ini. Kata beliau,
فهم بعض الناس «تقوى الله» خطأ، فحسبوها ضرباً من الدروشة أو العزلة أو السلبية في مواجهة الحياة والناس، وما هي إلا ضمير أيقظته خشية الله؛ يدفع صاحبه إلى التحلي بمكارم الأخلاق، والتخلي عن سفاسفها، في معاملة الحق أو معاملة الخلق.
Sesetengah orang salah dalam memahami “taqwa kepada Allah”. Mereka mengiranya sejenis gambaran kedhaifan, atau dengan cara beruzlah, atau berfikiran negatif terhadap kehidupan dan masyarakat. Tidaklah ia (taqwa) itu kecuali (perbuatan) hati, yang membangunkannya (hati itu) ialah rasa takut pada Allah, hingga mendorong tuannya agar berakhlak mulia dan meninggalkan perkara-perkara tidak baik ketika berhadapan dengan kebenaran dan ketika berinteraksi dengan orang ramai.
Al-Qaradawi dalam khutbah-khutbahnya menegaskan bahawa taqwa tidak dinilai berdasarkan perbuatan-perbuatan zahir, sebaliknya taqwa merujuk kepada perbuatan hati atau `amal qalbi. Dalam kata-katanya yang dinukilkan di atas, beliau menakrif taqwa sebagai dhamiirun ai-qhadhat-hu khash-yatullah ضمير أيقظته خشية اللهiaitu dhamir atau hati yang sentiasa sedar, disedarkan oleh khash-yatullah iaitu rasa takut kepada Allah – sehingga diri manusia tersebut sentiasa berhati-hati dalam tindak tanduk dan perbuatannya agar tidak sampai melakukan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah, sebaliknya dia akan berusaha melakukan segala kebaikan yang termampu bagi mendapatkan sebanyak-banyak redha-Nya. Bagi mengukuhkan pandangan bahawa taqwa sebagai `amal qalbi, Al-Qaradawi memukilkan bagaimana Rasulullah (saw), dalam satu hadisnya, menjelaskan letak duduk taqwa. Sabda Baginda at-taqwa ha hunaa (التقوى ههنا) maksudnya “taqwa itu di sini” dan Baginda (saw) menyebutnya tiga kali sambil mengisyarat ke dadanya.
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ... وكُوْنُوْا عِبَادَ اللهِ إِخْوَانًا، اَلْـمُسْلِمُ أَخُوْ الْـمُسْلِمِ ، لاَ يَظْلِمُهُ ، وَلاَ يَخْذُلُهُ ، وَلاَ يَحْقِرُهُ ، اَلتَّقْوَى هٰهُنَا، وَيُشِيْرُ إِلَى صَدْرِهِ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ... رواه مسلم.
Dari Abu Hurairah (ra), dia berkata: Rasulullah (saw) telah bersabda: … hendaklah kamu menjadi hamba-hamba Allah yang bersaudara. Seorang muslim adalah saudara bagi muslim yang lain, maka dia tidak boleh menzaliminya, membiarnya terlantar dan menghinakannya. Taqwa itu di sini (sambil Baginda Rasulullah memberi isyarat ke dadanya tiga kali)… - Diriwayat oleh Muslim.
Oleh yang demikian, taqwa boleh dimengertikan sebagai “kesedaran hati yang mendalam akan kehadiran Allah dalam kehidupan seseorang, diiringi cetusan rasa takut akan kemurkaan-Nya dan siksa-Nya, menjadikan diri manusia ini sentiasa berjaga-jaga dan berwaspada, memelihara diri agar tidak sampai melanggar larangan-larangan-Nya”.

(Bersambung)

Ab Halim Ismail
9 Ramadhan 1441/2 Mei 2020.
(Cikgu Ab Halim Ismail adalah Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH)

I S L A H M E D I A SIRI RAMADAN 6
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN