MENGGAPAI TAQWA: TAQWA DAN IBADAH PUASA Bahagian 2 (Akhir)



Puasa: Pembangun Taqwallah, Pembentuk Jiwa Muraqabah dan Marhamah
Ibadah puasa mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri dalam membentuk peribadi yang bertaqwa iaitu peribadi-peribadi yang memiliki hati atau dhamir yang terbangun hasil dari khasyatillah (rasa takut kepada Allah). Puasa adalah ibadah al-sirr atau ibadah rahsia seorang hamba dengan Tuhannya - ibadah yang tersembunyi dari pengetahuan manusia lain. Tiada yang mengetahui keadaan seseorang apakah dia benar-benar berpuasa atau tidak, kecuali Tuhannya. Perlakuan ibadah-ibadah lain, seperti solat, zakat, haji, tilawah al-quran, zikrullah, boleh dilihat oleh manusia hingga dengan demikian mudah pula disusupi oleh perasaan membangga-membangga diri dan riya’. Sebaliknya orang yang benar-benar berpuasa ialah orang yang sanggup meninggalkan keinginan makan minum dan mengenepikan runtunan nafsu syahwat semata-mata kerana Allah (swt). Semua ini dilakukannya dengan rela dan sengaja iaitu sebagai mematuhi titah perintah-Nya. Orang yang benar-benar berpuasa tidak sanggup mengambil walau secebis makanan atau mengesip setitik air, sekalipun tiada seorang manusiapun menyaksikan apa yang diperbuatnya.
Mungkin kerana puasa merupakan ibadah sirr, maka Allah (swt) secara khusus menyandarkan ibadah puasa kepada Diri-Nya dan menegaskan bahawa Dia sendiri akan menentukan bilangan ganjaran pahala - ganjaran yang melampaui kadar biasa yang ditentukan untuk ibadah-ibadah yang lain.
عن أبي هريرة رضي الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: قال الله عزوجل: كل عمل ابن آدم له إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزي به... (متفق عليه).
Dari Abu Hurairah (ra), sesungguhnya Rasulullah (saw) bersabda: Allah `Azzawajalla telah berfirman: Seluruh `amal anak Adam adalah untuk dirinya (sendiri), kecuali puasa, sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan memberi ganjarannya… - Muttafaqun `alaih.
عن أبي هريرة رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: كل عمل ابن آدم يضاعف، الحسنة بعشر أمثالها إلى سبعمائة ضعف، قال عزوجل: إلا الصوم فإنه لي وأنا أجزى به – رواه مسلم.
Dari Abu Hurairah (ra), dia berkata: Rasulullah (saw) telah bersabda: Setiap `amal anak Adam itu digandakan ganjaran pahalanya, satu kebaikan akan digandakan sepuluh kebaikan seumpamanya (bahkan) hingga tujuh ratus kali ganda. Allah `Azzawajalla berfirman: Kecuali Puasa. Sesungguhnya puasa itu untuk Aku dan Aku sendiri yang akan memberi ganjarannya – Diriwayat oleh Muslim.
Sifat sirr pada ibadah puasa mendidik manusia supaya merasai akan kehadiran Allah (swt) dalam kehidupannya; Allah sebagai al-Raqiib, Tuhan yang Maha Mengawasi segala sesuatu. Hati atau jiwa yang terdidik dengan kesedaran demikian akan mencapai muraqabatullah iaitu perasaan bahawa dirinya sentiasa berada dalam pengawasan Allah (swt). Allah (swt), disadarinya sebagai Tuhan Yang Maha Mengetahui segala sesuatu, yang zahir mahupun yang batin, yang terang mahupun yang terlindung, yang diucapkan mahupun yang tersimpan di dalam hati. Keadaan muraqabatullah menjadikan seorang hamba Allah itu merasa malu dan bersalah bila terlalai dari melaksanakan perintah-perintah-Nya. Dia akan berusaha memenuhi tuntutan dan perintah Allah (swt) dengan sebaik-baiknya. Sekiranya terlanjur melakukan dosa, dia akan cepat sadar dan kembali memohon keampunan dan bertaubat kerana kebimbangannya yang utama ialah kalau dia dimurkai Allah. Inilah peribadi memperolehi darjat al-muttaqin iaitu orang-orang yang berusaha membendung dirinya dari sifat-sifat keji (sifat al-mazmumah) dan menghias dirinya dengan sifat-sifat terpuji (sifat al-mahmudah). Inilah taqwa terbina di hati dalam dadanya, sebagaimana yang disebut Baginda (saw): al-taqwa ha-huna, al-taqwa ha-huna, al-taqwa ha-huna.
Puasa menghadkan makan dan minum, menjadikan manusia sebagai satu-satu makhluk Allah (swt) yang berupaya mengawal diri dari makan dan minum, sekalipun dia lapar dan dan dahaga dan walaupun ada makanan dan minuman yang mewah di hadapannya. Ibadah puasa melatih agar kita, bukan sahaja bersederhana dalam urusan makan minum, tetapi juga mendidik kita agar menyedari bahawa ada urusan dan tanggungjawab yang lain yang lebih besar dan lebih penting dari soal makan dan minum, iaitu tanggungjawab terhadap Allah (swt) dan juga kewajipan-kewajipan yang perlu dipenuhi terhadap makhluk-makhluk-Nya. Oleh yang demikian nafsu makan dan minum wajar dilayani sekedarnya, secara sederhana dan tidak melampaui batas.
Menurut Rasulullah (saw) makan minum ialah untuk memperolehi tenaga dan kekuatan bagi meneruskan penghidupan. Maka makan dan minum perlu diambil dalam jumlah yang sederhana bagi mengekal keaktifan fungsi tubuh badan.
عن المِقْدَام بن مَعْدِي كَرِبَ رضي الله عنه قال: سمعت رسول الله -صلى الله عليه وسلم قال : ما ملأ آدميٌّ وعاءً شرًّا من بطن، بحسب ابن آدم أكلات يُقمن صلبَه، فإن كان لا محالة، فثُلثٌ لطعامه، وثلثٌ لشرابه، وثلثٌ لنفَسِه.
Al-Miqdam bin Ma’di Karib (ra) berkata: Aku mendengar Rasulullah (saw) berkata. “Tiada tempat yang manusia isi, yang lebih buruk dari perut. Cukuplah bagi anak Adam makan beberapa suapan untuk menegakkan punggungnya. Namun jika ia harus (melebihinya) maka hendaknya sepertiga perutnya (diisi) untuk makanan, sepertiga untuk minuman, dan sepertiga lagi untuk bernafas” - HR Ibn Majah, Ahmad, Tirmizi.
Kekenyangan akan memudharat tubuh badan. Namun perkara yang jauh perlu dibimbangi ialah kesan buruk nafsu makan dan minum terhadap kehidupan beragama. Berlebihan makan dan minum akan mematikan hati dan melemahkan semangat untuk beribadah. `Aisyah (ra) menerangkan betapa kekenyangan akan melemahkan hati dan mendorong nafsu merajalela:
روي عن عائشة رضي الله عنها أنها قالت : أول بلاء حدث في هذه الأمة بعد نبيها الشبع ؛ فإن القوم لما شبعت بطونهم سمنت أبدانهم ، وضعفت قلوبهم ، وجمحت شهواتهم.
Diriwayatkan dari Aisyah (ra), beliau berkata, “Bala pertama menimpa umat ini, sesudah kepergian Nabi (saw) ialah kekenyangan, apabila satu kaum kenyang perutnya, akan gemuklah badannya, lalu akan lemahlah hatinya dan merajalelalah syahwatnya” - HR Bukhari.
Menahan lapar dan dahaga, melalui ibadah puasa, dapat mendidik insan dengan jiwa marhamah iaitu jiwa yang mudah bersimpati dengan golongan yang kurang bernasib baik, khususnya kelompok fakir miskin yang menderita kerana ketiadaan makanan. Rasa simpati dan perasaan kasih sayang ini akan mendorong mereka tampil membantu dan menghulurkan bantuan. Dalam konteks dunia ini, jumlah mereka yang menderita kerana ketiadaan makanan bertambah berlipat ganda akibat konfik dan peperangan. Sedikit derita yang dirasai kerana berpuasa akan menumbuhkan rasa simpati dan keinginan untuk membantu golongan yang tidak bernasib baik seperti ini. Namun, mereka yang hidup mewah dengan makanan yang melimpah ruah tidak akan memahami erti derita dan kesusahan yang dideritai manusia lain. Diriwayatkan bahawa Nabi Yusuf (as) memilih untuk berlapar dengan hanya mengambil makanan yang sedikit. Ditanya kepadanya: أتجوع وبيدك خزائن الأرض؟ Engkau berlapar, sedangkan di tanganmu khazanah kekayaan bumi? Dia menjawab: إنْ أخاف إنْ شبعتُ أنْ أنسى الجائع (Aku takut kalau aku kenyang, aku akan lupa mereka yang lapar).
Demikianlah ibadah puasa mempunyai kemampuan tersendiri dalam membina jiwa yang bertaqwa dalam pengertian yang seluas-luasnya.

Ab Halim Ismail
9 Ramadhan 1441/2 Mei 2020.
(Cikgu Ab Halim Ismail adalah Naib Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia WADAH)

I S L A H M E D I A RAMADAN SIRI 7
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN