Nabi Yusuf a.s. diamanahkan Mengurus Perbendaharaan Negara



Nabi Yusuf a.s. telah melalui kesusahan semenjak berumur 12 tahun. Baginda dikhianati oleh saudara kandungnya sendiri melalui satu komplot yang dirancang.
Apabila cuba digoda dan difitnah pula oleh imra’atul aziz - isteri al Aziz, isteri perdana menteri, Nabi Yusuf a.s. lebih rela berada di penjara bagi mengelak fitnah imra’atul aziz dan daripada terjebak dalam maksiat dan dosa. Apabila Raja Mesir menawarkannya kebebasan, Yusuf a.s. meminta namanya dibersihkan dan ini dilakukan serta mendapat pengakuan imara’atul aziz dan teman-temannya. Ini bermakna bukan sekadar bagi Yusuf a.s. jasadnya dibebaskan. Bahkan, kebebasan sebenar adalah apabila maruah karamah insaniah terpelihara.
Penjara boleh ditransformasikan menjadi madrasah - school of Yusuf a.s. kerana baginda berusaha berdakwah walaupun di mana. Sehingga dirinya menjadi naqib dan kaunselor, disayangi oleh seluruh penghuni banduan penjara, dan mereka di luar penjara.
Yusuf a.s. mengetahui bahawa tidak ramai orang pada masa itu yang beramanah serta mereka sering menipu. Mesir memiliki banyak gudang-gudang simpanan jelapang biji-bijian tetapi di dalamnya kosong melompong. Yusuf a.s. menyedari bahawa ada yang mengkhianati rakyat jelata. Yusuf a.s. memerhati orang yang curang dan mencuri khazanah negara yang dikurniakan Allah s.w.t. Baginda melihat betapa banyak, jenuh dan melimpah ruahnya kekayaan negara tetapi ia kian hilang lesap.
Harta kekayaan negara habis lenyap di tangan-tangan pemimpin-pemimpin dan para pengelola yang mengurus khazanah itu. Mereka tidak takut kepada Allah s.w.t. Mereka menghidang makanan kepada anjing-anjing mereka tetapi rakyat biasa tidak mempunyai apa pun untuk dimakan. Mereka menghiasi rumah-rumah mahligai kediaman mereka dengan boros dan berlebihan tetapi rakyat biasa tidak mempunyai sehelai pakaian pun.
Rakyat biasa tidak akan menikmati apa-apa manfaat daripada perbendaharaan negara Mesir kecuali jika seorang bendahara yang jujur dan berpengetahuan dilantik. Bendahara yang jujur tetapi tanpa berpengetahuan tidak akan tahu bagaimana untuk mengurus dengan bijaksana. Sebaliknya, seorang bendahara yang berpengetahuan tetapi tanpa kejujuran akan menipu rakyat dan menggunakan perbendaharaan untuk tujuan kepentingan diri sendiri.
Yusuf a.s. seorang yang beramanah dan berpengetahuan. Baginda tidak boleh terima atau bertoleransi dengan pemimpin, pengelola dan mereka yang diamanahkan tetapi membohongi rakyat serta mereka yang merampas menggeledah harta kekayaan milik rakyat jelata. Yusuf a.s. tidak dapat menerima lagi melihat pihak berkuasa dan autoriti yang menginjak-injak hak rakyat. Yusuf a.s. tidak rela melihat rakyat kelaparan dan mati kebuluran.
Yusuf a.s. tidak malu kerana memperjuangkan kebenaran dan menegakkan keadilan. Dia memberitahu raja Mesir:
قَالَ اجْعَلْنِي عَلَىٰ خَزَائِنِ الْأَرْضِ ۖ إِنِّي حَفِيظٌ عَلِيمٌ
"Berkata Yusuf: "Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga, lagi berpengetahuan (hafizun ‘alim)." (Surah Yusuf 12:55)
Begitulah Yusuf a.s. diberikan amanah menjaga dan mentadbir harta kekayaan dan khazanah negara Mesir. Rakyat jelata berasa lega dan sangat gembira, lalu mereka memuji Allah s.w.t.
Al Qur’an ditanzilkan dan menyampaikan kepada Nabi Muhammad ﷺ – sebuah cerita terindah, kisah terbaik, ibrah yang manis – ahsan al qasas, pada Surah Yusuf. Pengajaran besar kisah ini adalah jika seorang Mu’min, tabah beriman, mempunyai sahsiah Islamiyyah dan dikurniakan hikmah kebijaksanaan, dia mampu menawan seluruh negara hanya dengan kekuatan keperibadiannya. Ibrah kehebatan Nabi Yusuf a.s. mengajar kita bahawa seorang yang memiliki sahsiah yang tinggi dan mulia akan berjaya walaupun terpaksa mengharungi dugaan berat, mehnah dan fitnah dengan hidayah petunjuk Allah serta pertolonganNya.

Susunan Hj Hamdan Mohd Hassan
Timbalan Pengerusi WADAH Pulau Pinang

Adaptasi, terjemahan dan suntingan daripada kitab Qisas an-Nabiyin oleh Sayyid Abul Hasan Ali Nadwi (rh), sebuah buku Kisah Rasul-Rasul yang ditulis khusus untuk kanak-kanak dan suatu teks berkesan bagi mempelajari Bahasa Arab.
Nota Tadhkirah Usrah Biro Kesihatan ABIM oleh Ustaz Dr Siddiq Fadzil catatan Radin Imaduddin dan Shirajuddin Sirat, 2013
Towards Understanding the Qurán oleh Sayyid Abul A’la Mawdudi

I S L A H M E D I A SIRI RIJAL
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN