NOTA USRAH: Rijal Ad-Da’wah: ‘UMAR ABDUL AZIZ (Bahagian 1)



Rijal Ad-Da’wah
Maka, apabila kita sudah tahu bahawa Islam itu adalah agama yang kekal hingga ke akhir zaman, dan Islam sesuai dan praktikal pada tiap zaman dan tempat, serta umat Islam adalah umat terakhir dipilih Allah untuk menyampaikan risalah Ilahi kepada ahli bumi, justeru semestinya Islam dan umat ini akan diuji dan menghadapi tribulasi-tribulasi yang tidak dihadapi oleh sesiapa pun sebelum ini dalam sejarah, lantas akan diuji dengan zaman-zaman, dan generasi-generasi yang tidak pernah dihadapi oleh mereka sebelum ini. Islam dan umatnya akan senantiasa diuji pada setiap peringkat sejarahnya, pada setiap lipatan tarikhnya dengan ujian yang menyentuh soal logik pemikiran, keilmuan, ketamadunan, kemasyarakatan dan perundangan.
Oleh yang demikian, dapatlah difahami bahawasanya, zaman-zaman yang dilalui oleh Islam dan umatnya adalah penuh dengan pergolakan dan ikhtilaf sekaligus melahirkan banyak kemusykilan dan permasalahan yang tidak pernah terlintas pada akal umat. Segala-galanya akan diuji, dari segi keluhuran undang-undang, Thabat atau kekal dengan prinsip, kekuatan rohani, dan kesesuaian Islam dengan kehidupan. Kesemua ini akan menghadapi tribulasi dan mehnah yang sentiasa mendatang. Maka umat yang berhasil keluar dari pertarungan atau peperangan ini dengan menggapai kemenangan adalah umat yang layak dengan kehidupan (Jadiratun bil Hayah), layak untuk memimpin (Solihatun lil Qiyadah). Mana mungkin bagi mana-mana kekuatan politik, atau kuasa luar untuk menyerang tubuhnya apatah lagi melenyapkannya dari kewujudan.
Islam mampu menghadapi kesemua tribulasi ini kerana kekuatan agama Islam dan syariatnya serta rijal-rijal beramanah dan berprinsip. Rijal inilah yang bangkit tampil melakukan perubahan dan menentang kemungkaran, membenteras keruntuhan akhlak, melawan politik tirani (As-Siyasah Al-Mustabiddah atau al istibdaad al siyasi), pemerintahan yang zalim, pembaziran dan lain-lain kebejatan. Faktor utama yang membentuk dan menjadikan mereka sedemikian adalah kerana Islam itu sendiri, inilah tabiat atau fitrah sifat semulajadi Islam, yakni akan ada pejuang-pejuang yang senantiasa membelanya sepanjang masa hingga ke akhir zaman.
Sejarah mencatatkan bahwa sepanjang keberadaan Islam dalam lipatan sejarah, akan sentiasa ada tokoh-tokoh islah-reformis-mujaddid yang muncul pada setiap zaman dan tempat. Bilangan mereka sangatlah ramai, maka penulis mengambil kesempatan ini untuk menceritakan tentang ketokohan Umar Abdul Aziz sebagai Rijal ad-Dakwah.
Umar bin Abdul Aziz
Sebelum kemunculan Umar bin Abdul Aziz, pada pemerintahan Bani Umayyah zahirnya asabiyah jahiliyah, baitul mal menjadi milik individu tertentu sedangkan ia berlawanan dan bercanggah dengan prinsip yang diajar Rasulullah ﷺ (Perintah Baginda ﷺ adalah harta baitul mal ini diambil dari orang kaya dan diberi kepada orang faqir). Budaya membodek menjadi amalan biasa, maka dikelilingi khalifah oleh orang oportunis yang mengambil kesempatan mahukan kuasa dan membolot harta rakyat. Orang kaya raya diagung-agungkan dan dipenuhi jemputannya sedangkan orang faqir dibiarkan terlantar begitu sahaja. Nyanyian lagha menjadi budaya amalan di zaman Umawi, hinggakan pada suatu ketika seorang penyanyi telah datang ke Madinah. Maka berhimpitlah dan bersesaklah orang ramai memasuki sebuah rumah di mana penyanyi itu akan menyanyi. Justeru runtuhlah atap rumah itu disebabkan dikerumuni ramainya orang lantas terhempap serta mati penyanyi itu. Para pemimpin Umayyah saling berebut demi mendapatkan kuasa dan pengaruh, namun mereka tidak mampu menandingi pengaruh ilmuwan dan ulama yang masih punya kuasa, penghormatan dan pengaruh yang kuat di kalangan rakyat jelata.
Apabila ’Umar Abd Aziz dilantik menjadi khalifah, dia menyeru dan menyerah kembali perlantikannya kepada pemilihan rakyat kerana dia sedari bahawa dia telah dilantik tanpa persetujuan rakyat. Rakyat merestu dan mengangkat kepimpinannya. ’Umar Abd Aziz bermula dengan muhasabah hartanya sendiri dan memulangkan kembali semua harta rakyat. Dia memberitahu isterinya, Fatimah anak kepada Abd Malik ibn Marwan yang telah mendapat barangan kemas hadiah bapanya yang bernilai tanpa taranya, supaya memilih samada mengembalikan semuanya kepada perbendaharaan atau diceraikan. Fatimah memilih untuk bersama suaminya. Apabila ’Umar Abd Aziz kembali ke rahmatullah, Khalifah baru yang menggantinya iaitu abang kepada Fatimah menawarkan untuk memulangkan barangan kemas itu. Fatimah menjawab bahawa dia tidak menginginkan harta itu. Khalifah berkenaan pun mengambil dan membahagi-bahagikan barangan kemas itu kepada isteri-isteri dan anak-anaknya sendiri.
Pada masa ’Umar Abd Aziz, dia mengarahkan anak-anak Marwan supaya mengembalikan harta milik rakyat yang ada pada mereka. ’Umar Abd Aziz telah mengawal perbelanjaan kerajaan supaya tidak membazir dan kehilangan. Oleh itu tidaklah menghairankan apabila wang rakyat terpelihara dan hanya dibayar kepada mereka yang layak maka keseluruhan wilayah Islam tidak mempunyai penerima zakat yang layak.
Kehidupan Umar Abdul Aziz selepas dilantik menjadi Khalifah
Umar mengasingkan diri daripada penguasa-penguasa yang zalim, menolak kemegahan yang diamalkan oleh khalifah-khalifah sebelumnya. Dia tidak membenarkan sesiapapun bangun berdiri menghormatinya. Dia mengizinkan rakyat jelata bertemu dengannya tanpa perlu minta kebenaran. Dia mengeluarkan hartanya untuk diserahkan kepada baitul mal termasuklah barang-barang kemas isterinya. Pada beberapa ketika dia lewat untuk keluar solat Jumaat kerana menantikan bajunya kering terlebih dahulu. Makanan anak-anaknya terdiri dari kacang adas dan bawang, lalu menangislah si Khalifah lalu dia berkata kepada anak-anaknya “Apa yang kamu peroleh manfaat, jika kamu hidup mewah, tetapi ayah kamu diarah untuk dimasukkan ke neraka?”
Dan pernah suatu masa, Umar ingin menunaikan ibadah Haji, namun duitnya tidak mencukupi padahal dia seorang Khalifah, lantas pembantunya berkata kepadanya, “Akan datang kepada kita harta cukai dari Bani Marwan, kamu boleh gunakan sebahagian untuk haji”.
Lalu dijawab Umar Abdul Aziz, “Letakkanlah ia di baitul mal, dan berilah apa yang halal untuk ku ambil, jika ia haram untukku maka cukuplah apa yang ada.” Gaji hariannya tidak lebih daripada dua dirham, sedangkan dia telah menetapkan pegawai-pegawai kerajaan mendapat gaji 300 dinar setiap seorang supaya mereka tidak melakukan khianat.
Sikap tawadu’ Umar ini bukan hanya khusus pada diri peribadinya, bahkan dia juga berusaha melaksanakan polisi tawadu’ dalam penggunaan harta awam di kalangan pegawai-pegawainya. Dia berusaha untuk mengembalikan duit rakyat untuk manfaat rakyat, dan Umar percaya bahawa setiap dirham itu darah yang tidak boleh dibiarkan mengalir pada tempat yang tidak layak baginya. Umar menulis kepada Muhammad bin Amru bin Hazm, gabenor Madinah agar dia tidak menyalakan lampu jalan tiap kali dia ingin keluar. Cukuplah bagi si gabenor itu dengan lampu-lampu yang disediakan untuk keluarganya, dengan pesanannya sekiranya dia ikut nasihat ini maka dia pada ketika itu adalah lebih baik dari sekarang.
Umar juga pernah diminta untuk membekalkan kertas kepada gabenor tersebut, kertas untuk kegunaan pejabat dan urusan rasmi, lalu Khalifah Umar membalas surat lalu menyuruh gabenor menulis secara nipis, tidak renggang antara perkataan, kerana tiada hajat untuk menjarakkan perkataan antara perkataan kerana ia sekaligus memudharatkan baitul mal.
(Bersambung….)

Omar Mokhtar bin Hamdan Al Rupawani, Timbalan Yang di Pertua ABIM Pulau Pinang
Rujukan:-
Rijalul Fikri wad Dakwah fil Islam oleh Maulana Abul Hasan Ali An Nadwiy

I S L A H M E D I A SIRI RIJAL
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN