NOTA USRAH: Rijal Ad-Da’wah: ‘UMAR ABDUL AZIZ (Bahagian 2 akhir)



Reformasi Pentadbiran
Khalifah Umar menegur pegawainya yang bimbang apabila ramai orang bukan Islam masuk Islam kerana sumber pendapatan jizyah akan menjadi kurang. Lalu Umar Abdul Aziz membalas dengan kata-kata masyhurnya, “Sesungguhnya Allah mengutus Muhammad ﷺ sebagai Pendakwah untuk Islam dan bukan sebagai pengutip cukai
Umar juga menulis kepada pegawainya yang bertugas di Yaman tentang kutipan cukai, “Bahawa sesungguhnya engkau pernah menulis kepadaku dan memberitahuku bahawa cukai Kharaj telah lama dikenakan kepada mereka samada tanaman mereka subur, atau tidak, hidup atau mati. SubhanAllah, jika suratku ini sampai kepadamu, maka tinggalkanlah perkara yang kamu rasa batil dan tegakkanlah kebenaran, sekalipun engkau hanya datang kepadaku dengan hanya segenggam ‘katam’, namun itu lebih membuatkan aku bahagia jika ia bertepatan dengan kebenaran.
Umar juga membatalkan cukai al-Muks, tiada cukai perniagaan bagi yang berniaga di darat atau laut, melarang pegawai-pegawai kerajaan dari berniaga kerana ianya merupakan kezaliman dan penindasan, mengharamkan pekerjaan tanpa upah ‘Unpaid Labour’ (Sukhrah), memberi peluang samarata kepada semua samada pegawai atau tidak untuk melakukan apa-apa aktiviti ekonomi keatas tanah-tanah.
Umar tidak mahu menerima hadiah, dan berkata, “Benda ini andai diberi kepada Rasulullah ﷺ, ianya memang hadiah, namun jika diberi kepadaku maka ianya hadiah, dan aku tidak berhajat kepadanya”. Dia juga membuka peluang kepada rakyat seluasnya untuk membuat aduan tentang apa-apa kekurangan dan kezaliman yang berlaku sepanjang pemerintahannya serta memberi insentif wang kepada pengadu.
Keprihatinan dalam Akhlak Rakyatnya
Datangnya Khalifah Umar Abdul Aziz dengan semangat membanteras pemisahan di antara pentadbiran atau siyasah dengan dakwah dan irsyad. Dia banyak mengutuskan surat kepada para tentera dan pegawai-pegawainya menyeru dan mengajak mereka melakukan amar makruf nahi mungkar, mengikuti ajaran Nabi ﷺ, serta berhati-hati dalam melaksanakan hukuman.
Keprihatinan dalam Dakwah
Umar mengutus surat kepada penguasa-penguasa India, mengajak mereka kepada Islam. Apabila Ismail bin Abdillah menjadi penguasa Maghribi, Umar mengutus surat kepada rakyat Maghribi untuk mengajak mereka masuk Islam. Lalu Ismail membaca surat tersebut kepada mereka, sekaligus berbondong-bondong masuk Islam.
Apabila jelas dan terang kemenangan Islam dan diyakini kehebatan serta kewibawaan pemimpinnya maka manusia akan berduyun-duyun memeluk agama ini.
Penulisan ilmu-ilmu Islam dan menghidupkan Sunnah Ar Rasul
Umar mengarahkan Imam Abu Bakar bin Muhammad untuk membukukan hadith Rasulullah ﷺ agar ia tidak hilang atau luput. Bahkan dia mengarahkan semua gabenor-gabenor di wilayah-wilayah lain untuk mengusahakan pembukuan hadith-hadith Nabi ﷺ Beliau memberikan upah kepada para ulama agar mereka berdedikasi dalam melakukan kerja dakwah.
Pada zaman Umar Abdul Aziz, terdapat seorang dai’e yg bernama Al-Harith yang diarah olehnya untuk pergi berdakwah ke kawasan pendalaman. Umar mengarahkan pegawainya memberi gaji kepada Al Harith untuk menjalani tugasan tersebut. Al-Harith hanya menjawab, "Tidak akan aku ambil duit atas ilmu yang Allah beri kepadaku." Apabila berita itu sampai kepada Umar Abd Aziz, dia berdoa, "Semoga Allah banyakkan dalam ummat ini orang seperti Al-Harith."
Kesan Dasar Reformasi Umar Abdul Aziz
Berkata Yahya bin Saad, “Aku diutuskan oleh Umar Abdul Aziz untuk mengutip zakat daripada penduduk Afrika maka tugas ini aku dapat laksanakan, namun apabila aku mahu memberikan zakat kepada fuqara di sana, tiada seorang pun yang faqir. Sesungguhnya Umar telah mengkayakan rakyat, lalu aku terus menggunakan zakat itu untuk membebaskan hamba-hamba.”
Salah seorang anak kepada Zaid bin Al-Khitob berkata, “Umar Abdul Aziz memerintah selama 30 bulan sahaja, namun dalam tempoh itu jika disuruh seseorang untuk memberikan zakatnya kepada faqir miskin, nescaya dia tidak akan menjumpainya kerana Umar telah menjadikan rakyat kaya.
Begitulah janji-janji Allah kepada orang-orang yang beriman, bertaqwa dan beramal salih. Diberikan kekuasaan di dunia dan diberikan kemampanan dalam segala bidang. Dikurniakan keberkatan dari langit dan bumi, seperti sumber daya alam yang melimpah serta rezeki yang luas (al-barakah dan ar-rizqu ath-thayyib).
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰٓ ءَامَنُوا۟ وَٱتَّقَوْا۟ لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَٰتٍ مِّنَ ٱلسَّمَآءِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِن كَذَّبُوا۟ فَأَخَذْنَٰهُم بِمَا كَانُوا۟ يَكْسِبُونَ
"Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertaqwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi." (Al-A'raaf: 96).
Imam At-Tobari menukilkan,
Sesungguhnya Khalifah Al-Walid suka binaan dan seninya, maka rakyat ketika itu apabila berjumpa akan saling bertanyakan tentang pembinaan. Khalifah Sulaiman pula suka bernikah dan makanan lazat, maka manusia apabila berjumpa akan bertanyakan satu sama lain tentang nikah kahwin dan makanan. Apabila dilantik Umar Abdul Aziz sebagai khalifah, manusia apabila berjumpa satu sama lain, mereka akan bertanyakan, “Adakah kamu sudah lakukan Qiyam?,” “Berapa juzuk kamu sudah hafaz?”, “Bilakah kamu akan khatam al Qur’an?” “Berapa hari kamu berpuasa sunat?” dan lain-lain amalan.”
Umar Abdul Aziz merupakan seorang yang sangat takut kepada Allah. Seorang lelaki berjumpanya dan di hadapan Umar ada tempat membakar api yang sedang menyala. Lalu Umar berkata kepadanya, “Berilah peringatan kepadaku.” Lalu berkata lelaki itu, “Wahai Amirul Mu’munin, apa manfaat untuk kamu jika kamu masuk syurga padahal pada hakikatnya, kamu masuk neraka, dan apa manfaat kamu masuk syurga akan tetapi pada hakikatnya kamu masuk neraka.” Lalu menangislah Umar Abdul Aziz teresak-esak hingga terpadam api tersebut.
KEWAFATAN
Pada tanggal 101 hijrah ketika umurnya 39 tahun, Umar Abdul Aziz syahid kembali bertemu Tuhannya disebabkan diracuni kaum kerabatnya Bani Ummayyah. Mereka membunuhnya kerana Umar tidak mengamalkan salahguna kuasa, tidak memperkayakan kerabat suku sakat - kronisme, nepotisme, dan kerana Umar Abdul Aziz seorang insan yang begitu telus, jujur dan amanah lagi bertaqwa. Maka tentera Iblis daripada kalangan manusia semestinya tidak mahu insan suci seperti ini ini hidup lama.
Moga Allah swt merahmati Umar Abdul Aziz, dan mengurniakan kepada kita pemimpin sepertinya.

Omar Mokhtar bin Hamdan Al Rupawani, Timbalan Yang di Pertua ABIM Pulau Pinang
Rujukan:
Rijal al-Fikr wa al-Da'wah fi Al-Islam oleh Syed Abul Hasan Ali al-Hasani al-Nadwi

I S L A H M E D I A SIRI RIJAL
Persatuan Wadah Pencerdasan Umat Malaysia
No akaun BANK ISLAM 12029010069484

Comments

Popular posts from this blog

DR. SIDDIQ FADIL: WASPADA TIPU-DAYA MUSUH DAKWAH Bahagian 2 (Akhir)

DR SIDDIQ FADZIL: Tadabbur Ayat 88 Surah Hud, Pengajaran bagi Aktivis Islah

PERANG BADAR: UJIAN GETIR TERAGUNG DI BULAN RAMADAN